Malacca Securities yakin untung bersih Teamstar naik 9.7% bagi FY26 dipacu pertambahan 10 kedai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malacca Securities yakin untung bersih Teamstar naik 9.7% bagi FY26 dipacu pertambahan 10 kedai

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 FebMalacca Securities yakin keuntungan bersih Teamstar Berhad meningkat 9.7% bagi FY26, dipacu jangkaan pertambahan sejumlah 10 kedai runcit baharu dan tiga lagi gudang tambahan.


Firma penyelidikan tersebut menambah, unjuran positif berkenaan turut disokong menerusi langkah penyenaraian syarikat peruncitan itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 25 Februari 2026.


Tambahnya lagi, kumpulan itu yang ditubuhkan pada 1996 di Puchong, Selangor, ketika ini sudah kukuh dengan mempunyai sebanyak 29 kedai runcit, sembilan gudang dan dua buah kilang di seluruh negara.


"Perniagaan syarikat ini terbahagi kepada dua teras utama, dengan runcit menyumbang 55.1% pada 2025 yang merangkumi jualan perabot, perkakasan dan e‑dagang," kata Malacca Securities dalam notanya.


Sementara segmen perdagangan dan nilai tambah pula jelas firma penyelidikan itu, menjana kira-kira 44.9% termasuk pengedaran perabot, pencampuran salutan dan pelarut serta aktiviti 'edge banding'.


Justeru firma tersebut menetapkan harga wajar 32 sen sesaham, berdasarkan unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 15 kali bagi FY26 dengan pendapatan sesaham (EPS) iaitu 1.98 sen.


Penilaian itu kata Malacca Securities, disifatkan adil berbanding purata PER rakan industri sama dan anggaran kira-kira 15.5 kali dalam indeks saham bermodal rendah di bursa (FBMSCAP) ketika ini.


"Sebahagian besar dana terbitan awam permulaan (IPO) Teamstar iaitu RM23.2 juta akan digunakan untuk membuka kedai dan gudang di Johor, Kedah, Pulau Pinang serta wilayah Pantai Timur," jelasnya.


Perkembangan itu dijangka meningkatkan jumlah cawangan kepada 35 kedai menjelang FY28, dan firma penyelidikan tersebt menekankan pulangan modal daripada kedai baharu dijangka kurang 12 bulan.


Situasi ini kata Malacca Securities, mampu menampung kos awal termasuk tambahan RM500,000 bagi perbelanjaan susut nilai, dan turut menekankan pengukuhan nilai ringgit sebagai faktor positif.


Tambahnya, kira-kira 20% inventori peruncitan Teamstar selama ini diperoleh terus dari luar negara, sekali gus akan menyokong margin keuntungan kumpulan berkenaan dalam tempoh jangka sederhana.


"Pertumbuhan syarikat dijangka disokong oleh prospek industri penambahbaikan kediaman di pasaran Malaysia yang RM59.2 bilion menjelang 2029, serta permintaan isi rumah yang stabil," jelasnya lagi.


Di samping itu kata Malacca Securities, transaksi hartanah sekunder turut aktif, serta inisiatif kukuh termasuk pengurusan sisa kimia, keselamatan pekerja, latihan staf dan tadbir urus korporat.


Secara keseluruhan, penyenaraian Teamstar di bursa dijangka membuka peluang strategik untuk memperluas pasaran, meningkatkan jualan dan menarik pelabur dalam tiga tahun. - DagangNews.com