IPOH 21 Feb - WastetoWealth Holdings Sdn. Bhd. (WastetoWealth) akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam melaksanakan inisiatif hijau melalui penyediaan mesin kitar semula pandu lalu iaitu Automatic Drive-Thru Recycling Centre (ADTReC).
Mesin ini akan memudahkan proses kitar semula bagi penduduk setempat serta meningkatkan kadar pengumpulan bahan kitar semula di daerah Manjung.
Ketika ini hanya sebuah ADTReC ditempatkan di pekarangan Masjid Haji Isa, Batu 8 Lekir sejak Januari lalu.
Selain itu, MPM mengambil inisiatif melibatkan semua warga kerjanya dalam ekonomi kitaran bagi menjayakan amalan kitar semula.
Ia melalui kerjasama yang dimeterai kedua-dua pihak baru-baru ini.
Melalui program ini kira-kira 500 warga kerja MPM yang terlibat akan dibayar bagi barang kitar semula yang dikumpul setiap bulan.
Pengerusi Wastetowealth, Ir. Mohamad Saiful Anuar Zainal berkata, MPM menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama melaksanakan program ekonomi kitaran sedemikian.

Menurut beliau, kerjasama itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan kelestarian alam sekitar.
“Sehingga kini kita telah bekerjasama dengan 8 PBT dalam program kitar semula, cuma dengan MPM kita libatkan sekali kakitangan dalam ekonomi kitaran.
“Kolaborasi bersama MPM akan dimula dengan Trash4protection iaitu skim insuran kemalangan diri menggunakan hasil bahan kitar semula sebagai bayaran premium bernilai RM12 seorang setahun bagi tempoh 3 bulan pertama.
“Program ini menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 500 orang kakitangan MPM dengan anggaran jumlah kutipan bahan kitar semula sebanyak 10 tan atau RM6,000.
“Ia diikuti dengan program Trash4cash pada bulan ke-4.

“MPM menyasarkan setiap kakitangan membawa 5 kilogram (kg) sebulan bahan kitar semula dengan anggaran jumlah kutipan 2.5 tan sebulan atau RM1,000 yang akan dibayar kepada peserta secara dalam talian,” ujarnya kepada DagangNews.
Kata Mohamad Saiful, bagi mewujudkan sebuah ekosistem kitar semula yang inklusif dan efektif, jumlah ADTrec perlu di tambah bagi setiap kawasan bagi memudahkan penduduk untuk mengamalkan aktiviti kitar semula. - DagangNews.com








