MAHB tutup jelajah ‘Connect & Collaborate Vendor 2025’ dengan penyertaan 250 kontraktor di Sepang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB tutup jelajah ‘Connect & Collaborate Vendor 2025’ dengan penyertaan 250 kontraktor di Sepang

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 4 DisMalaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menutup tirai siri jelajah ‘Connect & Collaborate Vendor 2025’ dengan kehadiran lebih 250 kontraktor pada sesi penutup di Hotel Sama-Sama, KLIA Sepang baru-baru ini.

 

Ini sekali gus menandakan kejayaan inisiatif nasional yang merangkumi lima lokasi utama iaitu Sabah, Kelantan, Pulau Pinang, Sarawak dan Sepang.

 

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB Malaysia) itu menjadi platform strategik MAHB untuk membuka akses terus kontraktor tempatan kepada peluang perolehan bernilai tinggi melibatkan projek pembinaan, penyelenggaraan, pembaikan dan pengurusan fasiliti lapangan terbang di seluruh rangkaian operasi syarikat.

 

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata jelajah vendor ini membolehkan MAHB mendapatkan gambaran jelas mengenai kapasiti sebenar industri kontraktor tempatan.

 

“MAHB menghargai kerjasama jangka panjang bersama CIDB, khususnya dalam membangunkan keupayaan rakan industri melalui program pensijilan dan pembangunan seperti Pembangunan Kontraktor Berterusan (CCD).

 

“Jelajah ini membolehkan kami menyelaras kapasiti industri, kekuatan teknikal dan cabaran sebenar di lapangan, di samping menjadi platform penting untuk meningkatkan standard pelaksanaan projek serta daya tahan ekosistem vendor kami,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

 

Semua peserta berdaftar menerima 10 mata CCD, sekali gus meningkatkan kelayakan teknikal mereka untuk menyertai projek berskala besar di bawah MAHB. 

 

Program ini turut menyediakan sesi padanan perniagaan, pameran, serta libat urus satu dengan satu bersama institusi kewangan bagi membantu isu pembiayaan modal dan kos operasi kontraktor.

 

Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal berkata program jelajah ini memberi pendedahan langsung terhadap keperluan sebenar MAHB sebagai pemilik projek berskala nasional.

 

“MAHB memerlukan kontraktor yang kompeten, cekap dan berkualiti. Program ini membantu kontraktor memahami keperluan tersebut secara langsung melalui jaringan sebenar, bukan sekadar seminar teori,” katanya.

 

Antara dua objektif utama program ialah:
1.    Peluang Perniagaan – Mendedahkan kontraktor kepada projek berimpak tinggi di lapangan terbang yang menjadi pintu masuk utama negara.
2.    Penyelesaian Kewangan – Memberi akses terus kepada pembiayaan perniagaan bagi menangani kekangan modal dan kos operasi.

 

Program ini juga memastikan semua kontraktor selaras dengan keperluan pendaftaran dan akreditasi di bawah Akta 520, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan industri pembinaan terhadap piawaian nasional.

 

Menurut MAHB, melihat jelajah vendor ini sebagai mekanisme penting untuk membina barisan vendor yang lebih bersedia melaksanakan projek kompleks di lapangan terbang, sejajar dengan keperluan operasi sedia ada dan perancangan peluasan infrastruktur negara. - DagangNews.com