KUALA LUMPUR 21 Okt – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatat pertumbuhan kukuh pada suku ketiga 2025 apabila jumlah pergerakan penumpang di seluruh kumpulan, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISGIA) meningkat kepada 40.6 juta penumpang.
Ia adalah kenaikan 12.2% berbanding 36.2 juta penumpang dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagi operasi lapangan terbang di Malaysia, jumlah pergerakan penumpang turut melonjak 8.1% kepada 26.9 juta pada suku ketiga 2025 berbanding 24.9 juta pada suku ketiga 2024.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kekal sebagai pintu masuk utama negara dengan merekodkan 16.3 juta pergerakan penumpang, meningkat 7.75% atau 1.2 juta penumpang berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, 8 syarikat penerbangan baharu telah memulakan operasi di Malaysia tahun ini, sekali gus memperkukuh sambungan udara antarabangsa negara.
“Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, kami terus memperluas laluan baharu dan menjalin kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan di pasaran utama seperti ASEAN, Asia Selatan, Asia Timur Laut, Asia Tengah, Timur Tengah, Eropah dan Barat Daya Pasifik.
“Usaha ini adalah bukti komitmen kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau pilihan, di samping meningkatkan pengalaman penumpang dan kecekapan operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk suku ketiga 2025 sahaja, dua syarikat penerbangan baharu memulakan operasi di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 75 syarikat penerbangan.
Antaranya ialah Jiangxi Air dengan laluan Nanchang–Kuala Lumpur dan Hong Kong Express yang mengendalikan laluan Hong Kong–Subang.
Beliau berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 12 laluan baharu turut diperkenalkan termasuk sambungan Taiyuan–Wuhan–Kuala Lumpur oleh China Eastern Airlines.
“ISGIA di Turkiye terus mencatat prestasi memberangsangkan dengan 13.7 juta pergerakan penumpang pada suku ketiga 2025, meningkat 21.2 % daripada 11.3 juta penumpang pada suku sama tahun lalu.
“Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan trafik antarabangsa yang melonjak 26.1% kepada 7.4 juta penumpang berbanding 5.9 juta tahun lalu.
“Peningkatan ini mengukuhkan kedudukan ISGIA sebagai hab transit antarabangsa utama dan pintu masuk penting untuk sambungan serantau,” katanya. - DagangNews.com








