MAHB catat 12.8 juta penumpang pada Oktober, trafik tahunan melonjak 11.8% kepada 125.7 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB catat 12.8 juta penumpang pada Oktober, trafik tahunan melonjak 11.8% kepada 125.7 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 25 NovMalaysia Airports Group mencatat 12.8 juta pergerakan penumpang pada Oktober, merangkumi rangkaian lapangan terbang tempatan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (ISG), sekali gus mengekalkan momentum pemulihan trafik yang semakin kukuh menjelang penghujung tahun.

 

Daripada jumlah tersebut, 69% atau 8.8 juta penumpang dikendalikan di lapangan terbang Malaysia, terdiri daripada 4.6 juta penumpang antarabangsa dan 4.2 juta domestik, manakala ISG menyumbang 4 juta penumpang.

 

Secara kumulatif, pergerakan penumpang setakat tahun ini meningkat kepada 125.7 juta, iaitu pertumbuhan 11.8% berbanding 112.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu, menjadikan 2025 antara tahun pemulihan trafik udara paling kukuh bagi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

 

 

 

 

 

 

 

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Dato’ Mohd Izani Ghani berkata, rangkaian besar merangkumi 39 lapangan terbang memerlukan penyelarasan berterusan serta mitigasi risiko secara proaktif.

 

“Cabaran terkini menjadikan kami lebih teliti dalam memperkukuh mitigasi risiko di seluruh rangkaian. Mengurus 39 lapangan terbang bermaksud penyelarasan berterusan, mengesan isu lebih awal dan memastikan operasi kekal stabil hampir setiap masa.

 

“Dengan pergerakan penumpang terus mencatat momentum sihat, kami menajamkan fokus terhadap kewaspadaan, kesiapsiagaan dan fleksibiliti. Menjelang kemuncak hujung tahun dan persediaan Visit Malaysia 2026, keutamaan kami jelas, memastikan kapasiti, tahap perkhidmatan dan fasiliti kekal boleh diharap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebagai pintu masuk utama negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatat 5.4 juta pergerakan penumpang pada Oktober, meningkat daripada 5.3 juta pada September.

 

Menurut MAHB, KLIA melaksanakan pelbagai inisiatif peningkatan pengalaman penumpang merentasi kedua-dua terminal, termasuk penambahbaikan aliran trafik di tepi jalan, penyelarasan wayfinding dan penyegaran kawasan sentuhan penumpang.

 

Inisiatif tersebut merangkumi pelaksanaan Vehicle Access Management System (VAMS) di kawasan kerbside serta pengubahsuaian ruang menunggu di Terminal 2 kepada konsep lebih terbuka, sebahagian daripada program menyeluruh untuk memberikan pengalaman perjalanan lebih lancar ketika trafik terus meningkat.

 

Sambungan antarabangsa Malaysia turut dipertingkat pada Oktober 2025 apabila Scoot Airlines melancarkan dua penerbangan mingguan menghubungkan Singapura dan Kota Bharu, membuka akses baharu ke Pantai Timur dan menyokong pembangunan pelancongan wilayah itu.

 

 

 

 

 

 

Ketika memasuki suku akhir tahun, Malaysia Airports sedang bekerjasama rapat dengan rakan syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan merentasi rangkaiannya untuk memperkukuh ketahanan jadual, perancangan sumber dan koordinasi musim puncak.

 

Ini termasuk penyelarasan operasi terminal, pengukuhan sokongan darat serta memastikan semua pihak bersedia menghadapi peningkatan trafik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). - DagangNews.com