Mahasiswa UUM tingkatkan kesedaran penggunaan tenaga dan keselamatan kebakaran komuniti Temuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahasiswa UUM tingkatkan kesedaran penggunaan tenaga dan keselamatan kebakaran komuniti Temuan

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 20 Julai – Lebih 250 peserta Program SERUMPUN: Mahasiswa UUM Bersama Komuniti Temuan di Dewan Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Banting dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan tenaga secara cekap serta amalan keselamatan dan pencegahan kebakaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

 

Program anjuran pelajar Kursus Pembangunan Masyarakat IV, Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) itu turut memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti dalam usaha memperkasakan masyarakat melalui pendidikan, keselamatan dan pembangunan sosial.

 

Majlis perasmian disempurnakan Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Hadi Anak Jembik. Turut hadir Pensyarah Kursus VKMB2041 yang mewakili Pengarah PACE UUM, Zulhairi Zakariah serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Bukit Tadom, Soeb Miah.

 

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).


 

solar

 

Mahasiswa praktikkan ilmu di lapangan

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk sesi kesedaran penggunaan tenaga, demonstrasi penggunaan alat pemadam api, pameran keselamatan kebakaran, aktiviti interaktif bersama komuniti serta penyampaian sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tadom.

 

Program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti Temuan, malah menjadi platform kepada mahasiswa mempraktikkan ilmu yang dipelajari di universiti di samping memupuk semangat kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

 

Pengarah Program, Mohd Khairulnizam Zainodin berkata, pendedahan mengenai penggunaan tenaga secara cekap dan langkah-langkah pencegahan kebakaran diharap dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran komuniti terhadap aspek keselamatan dan kelestarian.

 

"Kami berharap Program SERUMPUN dapat memberikan manfaat kepada komuniti Temuan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan tenaga secara cekap serta langkah-langkah pencegahan kebakaran.

 

"Pada masa yang sama, program ini menjadi platform pembelajaran yang amat berharga kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, di samping menghayati nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti.

 

"Kami juga berharap jalinan kerjasama yang terjalin antara Universiti Utara Malaysia, agensi kerajaan, rakan korporat dan komuniti setempat menerusi Program SERUMPUN akan terus diperkukuh bagi melahirkan lebih banyak inisiatif pembangunan komuniti yang memberi impak positif dan mampan," katanya.

 

Perkukuh kerjasama strategik

Menurut penganjur, Program SERUMPUN turut mencerminkan komitmen UUM menerusi PACE dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki nilai kemanusiaan, kepimpinan dan tanggungjawab sosial melalui penglibatan aktif dalam program khidmat masyarakat.

 

Program itu diharap menjadi platform berterusan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti ke arah memperkasakan masyarakat Orang Asli serta meningkatkan kesejahteraan mereka secara menyeluruh.

 

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, penaja, sukarelawan dan komuniti Kampung Orang Asli Bukit Tadom atas sokongan serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan. - DagangNews.com