Mah Sing, MapleHome meterai perjanjian khidmat pengurusan profesional di unit hartanah M Grand Minori | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing, MapleHome meterai perjanjian khidmat pengurusan profesional di unit hartanah M Grand Minori

Ilustrasi M Grand Minori
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov — Mah Sing Group Bhd memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan MapleHome untuk memperkenalkan penginapan servis profesional di projek hartanah M Grand Minori di Johor Bahru.

 

Perjanjian itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Voon Tin Yow bersama Pengarah Urusan MapleHome, Danny Hor, di ibu pejabat Mah Sing di Kuala Lumpur.

 

Melalui kerjasama ini, MapleHome akan menawarkan rangkaian perkhidmatan pengurusan hartanah dan hospitaliti kepada penduduk dan pelabur M Grand Minori. 

 

Perkhidmatan itu termasuk penyelenggaraan dalaman, perkhidmatan rumah, penyelenggaraan penyaman udara, serta pengangkutan ke lapangan terbang.

 

Pemilik rumah juga boleh melantik MapleHome untuk mengurus unit mereka secara langsung dengan sokongan perkhidmatan tambahan seperti pengendalian bungkusan, bantuan pemindahan rumah dan kawalan keselamatan dengan akses pelawat yang terkawal.

 

M Grand Minori adalah projek bercampur milik kekal seluas 5.99 ekar di Taman Pelangi, Johor Bahru. Ia terletak tiga kilometer dari stesen Bukit Chagar Rapid Transit System (RTS) serta 5.4 km dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin. 

 

Projek ini mempunyai nilai pembangunan kasar dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion dan sedang dalam proses pensijilan GreenRE  dengan ciri-ciri lestari termasuk stesen pengecasan kenderaan elektrik, pengurusan sisa automatik dan laluan letak kereta ekspres.

 

Fasa pertama pembangunan ini terdiri daripada dua menara apartmen servis dan podium runcit, dengan unit kediaman bersaiz antara 403 hingga 835 kaki persegi. 

 

Sementara itu Voon berkata, kerjasama dengan MapleHome merupakan langkah strategik untuk meningkatkan nilai tawaran M Grand Minori. 

 

“Johor Bahru kini berkembang menjadi hab dinamik rentas sempadan dan terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan kediaman fleksibel dan diurus dengan baik. 

 

“Perkongsian ini memanfaatkan kepakaran hospitaliti MapleHome untuk meningkatkan pengalaman penduduk dan pelabur sambil mengukuhkan M Grand Minori sebagai penanda aras kehidupan bandar moden,” katanya.

 

Dalam pada itu, Danny Hor pula berkata, MapleHome berbesar hati bekerjasama dengan Mah Sing untuk memperkenalkan unit servis yang diurus secara profesional di M Grand Minori. 

 

“Lokasi strategik projek di Taman Pelangi, berhampiran RTS Link dan dikelilingi kemudahan sedia ada, menjadikannya sesuai untuk pekerja rentas sempadan dan pelancong. 

 

“Kerjasama ini akan menyediakan pengalaman hospitaliti yang menggabungkan keselesaan, kemudahan dan teknologi moden untuk kemudahan penghuninya,” katanya. - DagangNews.com