KUALA LUMPUR 5 Nov – AP Moller–Maersk A/S melancarkan kemudahan logistik kontrak terbesar di rantau Asia Pasifik, dikenali sebagai Maersk Mega Distribution Centre, terletak di Shah Alam, Selangor.
Pusat pengedaran berkeluasan 180,000 meter persegi itu meningkatkan kapasiti gudang syarikat di Malaysia lebih 30 peratus, dan direka bagi mengendalikan pelbagai jenis barangan termasuk barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), makanan dan minuman, kasut serta pakaian.
Acara disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, yang menyifatkan pembukaan pusat mega itu sebagai bukti komitmen Maersk membina rantaian bekalan yang efisien, berasaskan teknologi, mampan dan berdaya tahan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik utama ASEAN.
“Ini merupakan bukti kesungguhan Maersk untuk memperkukuh Malaysia sebagai kuasa logistik serantau melalui pelaburan strategik berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Maersk, lokasi pusat tersebut yang terletak di Shah Alam memberi akses terus kepada lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Elite, dan Lebuhraya Shah Alam, selain kedudukannya yang berhampiran Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang membolehkan masa transit yang optimum kepada pelanggan.
Kemudahan itu juga terletak kira-kira 340 kilometer dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor, yang merupakan hab pemindahan muatan terbesar Maersk di Asia.
Ketua Logistik Kontrak Maersk Malaysia, P’ng Tean Hau berkata, pelaburan bernilai kira-kira RM500 juta itu membuktikan keyakinan kumpulan terhadap potensi Malaysia sebagai pusat pengedaran serantau yang strategik.
“Kedudukan geografi Malaysia di antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan menempatkan negara ini di persimpangan utama laluan perdagangan maritim dunia, menjadikannya lokasi ideal untuk operasi penghantaran dan logistik,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran.
Beliau turut memaklumkan bahawa pusat tersebut telah mencapai kadar penghunian 90 peratus, dengan pelanggan utama termasuk jenama sukan antarabangsa Adidas dan Nike.
Pusat pengedaran mega itu turut dilengkapi sistem automasi moden seperti robot mudah alih autonomi (AMR), sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS) serta teknologi Put-to-Light (PTL) bagi menyokong strategi pemprosesan pesanan lebih pantas dan meningkatkan kecekapan operasi.
Maersk menegaskan bahawa kemudahan baharu ini memperkukuh keupayaan logistik bersepadu syarikat di Malaysia dengan menghubungkan kargo dari pelabuhan antarabangsa terus kepada peruncit dan pengguna tempatan termasuk melalui perkhidmatan pengedaran dan penghantaran akhir (last-mile delivery).
“Pelaburan ini menegaskan komitmen jangka panjang Maersk untuk menyokong agenda transformasi logistik Malaysia dan mempercepat integrasi rantaian bekalan serantau,” jelas syarikat itu. - DagangNews.com








