Lupakan Hornet Kuwait, TUDM harus segera dapatkan pesawat tempur pelbagai peranan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lupakan Hornet Kuwait, TUDM harus segera dapatkan pesawat tempur pelbagai peranan

Pesawat KF-21 Boramae antara yang boleh dipertimbangkan sebagai seorang calon MRCA TUDM.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Keputusan wajar dan segera perlu dilakukan kerajaan dalam mempercepatkan program perolehan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) TUDM supaya tidak berlaku kelompongan.

 

Tempoh sehingga tahun 2040 yang diletakkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mendapatkan pesawat pejuang baharu dilihat tidak relevan sekiranya aset-aset sedia ada tidak seimbang.

 

Tambahan pula, perancangan tersebut tidak boleh dilaksanakan jika pembelian pesawat F/A-18C/D Hornet terpakai Kuwait masih belum berjalan.

 

Situasi semasa ini juga susulan ketidakpastian berhubung cadangan perolehan pesawat berkenaan yang masih tergantung.

 

Pesawat

Pesawat F/A-18 milik Kuwait.

 

Rancangan mendapatkan pesawat terpakai ini dikatakan berdepan isu garis masa yang tidak menentu, selain beberapa kekangan teknikal yang perlu diberi perhatian serius.

 

Sepertimana ditegaskan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, ketidaktentuan itu memberi kesan kepada perancangan jangka panjang TUDM.

 

Ini kerana tempoh operasi pesawat sedia ada semakin singkat, difahamkan merujuk kepada pesawat F/A-18D Hornet sedia ada TUDM yang telah berusia 25 tahun.

 

Kini cuma berbaki 7 buah Hornet TUDM setelah sebuah terbabit dalam nahas.

 

Menurut beliau, ketetapan Kuwait adalah pertimbangan untuk menjual pesawat F/A-18 C/D Hornet kepada mana-mana negara yang berminat hanya dibuat selepas 12 hingga 18 bulan ia menerima pesawat Super Hornet baharu.

 

Pesawat
Muhamad Norazlan diberi penerangan tentang pesawat Hornet terpakai Kuwait semasa melakukan lawatan ke negara tersebut bulan lalu.

 

Pesawat

 

Sehingga kini Kuwait tidak tahu bila pesawat Super Hornet mereka akan tiba dan ia dibimbangi akan mengambil masa lebih panjang.

 

Amerika Syarikat sebagai negara pengeluar pesawat pula menetapkan bahawa Hornet terpakai Kuwait hanya boleh diterbangkan semula oleh pembeli baharu selepas proses penukaran perisian pesawat dibuat yang mengambil masa lebih setahun.

 

Ini bermakna tempoh penantian pesawat Hornet terpakai Kuwait ini sangat panjang sedangkan TUDM perlu mengoperasikan jumlah pesawat yang seimbang pada kadar segera.

 

Mengikut perancangan sebelum ini, sekiranya Hornet Kuwait diterima, ia boleh menampung kehendak sementara TUDM sebelum pesawat MRCA dibeli pada 2035 hingga 2040.

 

Walaupun TUDM dijangka menerima 6 daripada 18 buah pesawat FA-50M yang dibeli dari Korea penghujung tahun depan, namun perolehan pesawat MRCA masih perlu.

 

Pesawat
KF-21 Boramae.

 

Pesawat

 

FA-50M adalah pesawat tempur ringan dan latihan lanjutan manakala MRCA pula merupakan pesawat tempur barisan hadapan, kedua-duanya mempunyai fungsi dan keupayaan berbeza.

 

Jika pun MINDEF membuat pembelian tambahan 18 buah lagi pesawat FA-50M bagi menjadikan 36 kesemuanya, pembelian MRCA tetap perlukan dilakukan.

 

Persoalan yang timbul, adakah TUDM atau MINDEF berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan pesawat yang terbaik? 

 

Jawapannya tidak kerana terdapat banyak pilihan pesawat berkeupayaan MRCA sedia ada yang telah matang yang kebanyakannya adalah pesawat tempur Generasi 4.5++ berteknologi terkini atau beralih kepada Generasi 5.

 

Imbas kembali, program MRCA TUDM sepatutnya dilakukan 10 tahun lalu ekoran khidmat pesawat MiG-29N ditamatkan.

 

Pesawat
Sukhoi SU-57 merupakan pesawat Gen 5 yang mendapat perhatian banyak pihak.

 

Pesawat

 

Cadangan menamatkan khidmat MiG-29N walaupun mendapat reaksi pelbagai termasuk dalam kalangan kepimpinan TUDM kerana pesawat masih baik, namun kerajaan ketika itu sangat beria-ia.

 

Kebanyakan pesawat MiG-29N baru mencecah kira-kira 1,500 jam penerbangan dengan jangka hayat pesawat boleh dioperasikan sehingga 30 tahun lagi jika dinaik taraf.

 

Walaupun tidak dinyatakan secara spesifik tetapi sekiranya program MRCA TUDM menjadi realiti pada waktu itu, jumlah pesawat yang akan dibeli adalah antara 12 hingga 18 buah.

 

Program MRCA menyaksikan beberapa pesawat disenaraikan sebagai calon antaranya Dassault Rafale, Eurofighter Typhoon, Saab Gripen dan Boeing F/A-18 Super Hornet.

 

Dalam usaha melobi, kesemua pesaing menawarkan pakej perolehan yang menarik terutamanya membabitkan kerjasama industri dan pembangunan teknologi.

 

Pesawat
Pesawat J-10C buatan China yang mendapat reputasi cemerlang semasa terlibat dalam konflik Pakistan-India.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Banyak pihak yang terlibat dalam usaha ini ketika itu membayangkan industri aeroangkasa negara akan bergerak cepat ke hadapan menerusi program MRCA.

 

Ia bukan sekadar satu pembelian, tetapi memacu kemajuan teknologi dalam negara termasuk pendidikan di institusi pengajian tinggi.

 

Malang, kesudahannya tiada kontrak dimeterai dengan mana-mana pengeluar apabila kerajaan pada masa itu memutuskan untuk menangguh program MRCA.

 

Ironinya pula, negara jiran Indonesia 2 tahun lalu memutuskan membeli pesawat Dassault Rafale yang pernah ditawarkan kepada Malaysia sebagai pesawat MRCA.

 

Pesawat
Pesawat Saab JAS-39 Gripen.

 

Apabila Malaysia tidak meneruskan program MRCA, tumpuan Dassault Aviation beralih ke negara jiran yang dilihat benar-benar memberikan komitmen dan keupayaan untuk membuat keputusan serta membiayai pembelian besar.

 

Sebenarnya, dalam soal memilih pesawat MRCA yang sesuai kita percaya pihak TUDM telah mempunyai senarai pendek pesawat yang difikirkan sesuai dan berkebolehan.

 

Ini kerana dari masa ke semasa kajiannya sentiasa dilakukan oleh pasukan khusus yang terlibat mengikuti perkembangan teknologi aeroangkasa.

 

Cuma isunya adalah sama ada kerajaan sedia untuk meluluskan perbelanjaan yang dipohon bagi mendapatkan pesawat berkenaan. - DagangNews.com