LKAN syor semak semula kaedah kutipan tunggakan bayaran balik pinjaman PTPTN sebanyak RM10.853 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LKAN syor semak semula kaedah kutipan tunggakan bayaran balik pinjaman PTPTN sebanyak RM10.853 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Feb — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu menyemak semula mekanisme kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan dan meningkatkan lagi pemantauan ke atas pengurusan pinjaman pendidikan agensi berkenaan.
 

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi 2023 menyatakan sehingga 31 Disember 2023, tunggakan bayaran balik pinjaman dana tersebut berjumlah RM10.853 bilion dengan melibatkan seramai 1.2 juta peminjam.
 

“Bayaran semula PTPTN yang tertunggak itu juga menunjukkan berlaku peningkatan dari 2019 hingga 2023 lalu,” kata Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam satu kenyataan susulan pembentangan LKAN 1/2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Berhubung pelaksanaan pengurusan Dana Penyelidikan Fundamental oleh lima universiti penyelidikan, beliau berkata, ia memerlukan pemantauan berkala bagi memastikan projek dibuat mengikut perancangan dan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan.

 

Laporan tersebut menunjukkan kemajuan projek penyelidikan berada pada tahap yang kurang memuaskan (53.9 peratus) dengan cuma 11.3 peratus projek dilaksanakan itu berada pada tahap baik manakala 7.3 peratus pula dikategorikan sebagai bermasalah.
 

 

Menyentuh kebimbangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berhubung kedudukan kewangan setakat 31 Disember 2023, beliau berkata keupayaan agensi itu cuma bergantung kepada bantuan kewangan tambahan dari kerajaan Persekutuan.

 

Wan Suraya

 

"Situasi ini menjadikan ia satu-satunya sumber untuk menampung kos operasi dan komitmen kewangan SWCorp pada masa hadapan," jelas Wan Suraya sambil menjelaskan bahawa LKAN mengemukakan 10 cadangan penambahbaikan kepada pelbagai agensi persekutuan.
 

Beliau berkata, masalah yang dialami oleh tiga pihak berkenaan termasuk dalam Fokus Utama Audit yang merupakan antara salah satu daripada tiga isu tumpuan LKAN 1/2025, selain isu Pengesahan Penyata Kewangan dan Analisis Penyata Kewangan.


Ia termasuk tindakan proaktif untuk menambah baik kawalan dalaman agensi dan menambah baik sistem kewangan selaras dengan keperluan piawaian perakaunan yang diterima pakai untuk memastikan pelaporan kewangan tepat dan pengurusan tadbir urus kewangan berkesan.
 

Tiga fokus yang digariskan itu jelas beliau bagi memastikan keupayaan setiap agensi persekutuan dapat meneruskan operasi berdasarkan usaha berterusan dan mengurangkan liabiliti seperti komitmen kewangan serta pergantungan hanya kepada kerajaan.
 

Cadangan lain ujar beliau, ialah mengkaji semula hala tuju dan rancangan perniagaan melibatkan banyak anak syarikat kerajaan yang didapati sering mengalami kerugian besar dan tidak pula memberikan sebarang pulangan yang sewajarnya.
 

Agensi persekutuan juga tambah Wan Suraya, disyorkan untuk memberi perhatian serius kepada beberapa isu, termasuk menutup syarikat subsidiari yang berstatus sebagai tidak aktif atau sudah pun lama tidak aktif dalam tempoh lebih lima tahun.
 

LKAN 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 boleh dimuat naik menerusi laman web Jabatan Audit Negara selepas ia dibentangkan ke Dewan Rakyat dan orang ramai boleh melayarinya di http://lkan.audit.gov.my. - DagangNews.com