KUALA LUMPUR 9 Jun – Life Water Berhad dijangka mencatat pemulihan prestasi pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26) selepas melalui suku ketiga yang lebih lemah, disokong oleh faktor bermusim dan peningkatan kecekapan operasi.
MBSB Research menjangkakan 4QFY26 akan dipacu oleh permintaan musim kemarau yang lazimnya meningkatkan penggunaan air minuman di Sabah serta kawasan operasi utama kumpulan.
Firma penyelidikan itu berkata kenaikan harga jualan purata (ASP) sebanyak RM0.60 sekarton yang dilaksanakan pada Mei 2026 turut dijangka menyokong peningkatan margin keuntungan.
“Pada masa ini, margin keuntungan syarikat sedikit meningkat kerana masih menggunakan stok bahan mentah lama yang dibeli pada harga lebih rendah. Namun, kelebihan ini hanya sementara kerana kos akan meningkat apabila stok baharu pada harga lebih tinggi mula digunakan sepenuhnya,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Pada 3QFY26, prestasi syarikat lebih lemah namun pengurusan menyifatkan ia hanya bersifat sementara, dipengaruhi oleh musim monsun serta tempoh penghantaran yang lebih pendek antara Januari hingga Mac.
MBSB Research berkata, dari sudut operasi, pihak pengurusan menegaskan bahawa isu utama bukanlah kelemahan permintaan, sebaliknya kekangan logistik dan keupayaan penghantaran ke pasaran.
“Bagi mengatasi perkara itu, LWSABAH melaksanakan pengembangan rangkaian pengedaran termasuk pembinaan pusat pengedaran baharu di Tawau, Keningau dan Lahad Datu dengan jumlah perbelanjaan modal sekitar RM7 juta.
“Kumpulan turut meningkatkan kapasiti logistik dengan menambah daripada 70 kepada 90 lori serta menambah empat forklift, selain terus menggunakan penyedia logistik luar sebagai sokongan jangka pendek,” katanya.
Struktur semasa pengedaran adalah sekitar 60% menggunakan lori sendiri dan 40% melalui pihak ketiga dengan kos logistik kekal sekitar 22% daripada jumlah kos operasi.
Dari sudut kapasiti, jumlah pengeluaran air minuman kumpulan adalah sekitar 626 juta liter setahun, dengan kadar penggunaan kapasiti sebanyak 59% pada 3QFY26.
Bagi segmen minuman berkarbonat, kapasiti pengeluaran adalah sekitar 37 juta liter dengan kadar penggunaan semasa pada 45 peratus. Kadar ini dijangka meningkat kepada kira-kira 60 peratus selepas pemasangan mesin PET blow tambahan yang akan meningkatkan keupayaan pengeluaran botol dan operasi.
MBSB Research turut menjangkakan kadar penggunaan kapasiti keseluruhan boleh meningkat kepada 65% hingga 70% pada 4QFY26, disokong oleh permintaan lebih kukuh dan sistem logistik yang lebih baik.
Walaupun begitu, risiko utama kepada prospek syarikat kekal tertumpu kepada turun naik harga resin PET, tekanan kos elektrik, serta pelaksanaan logistik dan pengedaran yang masih dalam fasa penambahbaikan.
MBSB Research mengekalkan saranan Beli ke atas LWSABAH dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.63, berdasarkan keyakinan terhadap pemulihan margin dan pertumbuhan pendapatan pada suku-suku akan datang. - DagangNews.com








