KUALA LUMPUR 18 Nov – Kerajaan MADANI menegaskan langkah rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan tidak akan membebankan golongan B40 dan M40, sebaliknya memastikan bantuan kewangan lebih tersasar kepada kumpulan yang benar-benar layak.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM208 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif sepanjang 2023 hingga 2025 untuk menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan bagi meringankan beban rakyat.
Namun katanya, subsidi pukal tidak lagi sesuai diteruskan kerana banyak dinikmati golongan tidak layak termasuk warga asing, selain berlaku ketirisan melalui aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi.
“Sehubungan itu, kerajaan sejak 2023 telah melaksanakan penyasaran subsidi bagi memastikan bantuan benar-benar memanfaatkan kumpulan sasaran serta mengurangkan ketirisan.
“Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuk penyasaran subsidi elektrik yang masih dinikmati 85% rakyat, pengapungan harga ayam dan telur, penyasaran subsidi diesel melalui kemudahan fleet card kepada 122,762 syarikat melibatkan 359,004 kenderaan, serta bantuan RM200 sebulan kepada 320,000 pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan penternak,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang meminta penjelasan langkah konkrit Kerajaan dalam memastikan proses rasionalisasi subsidi petrol, elektrik dan barangan asas tidak membebankan isi rumah B40 dan M40 termasuk data unjuran kesan harga sebelum dan selepas pelaksanaan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Lim berkata, bagi petrol RON95 pula, rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas masih layak menikmati harga bersubsidi RM1.99 seliter.
“Kelayakan bantuan BUDI95 turut diperluaskan kepada lebih 17,000 nelayan berdaftar, lebih 6,000 pemilik bot persendirian di Sabah dan Sarawak, selain pemandu e-hailing dan teksi lapangan terbang.
“Inflasi kekal terkawal pada 1.8% pada 2024, manakala unjuran bagi 2025 adalah antara 1% hingga 2%, dan 1.3% hingga 2.0% pada 2026,” katanya.
Tambahnya, penjimatan hasil rasionalisasi subsidi disalurkan semula kepada program kebajikan rakyat.
“Antaranya, peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion termasuk tambahan RM2 bilion Penghargaan SARA; peruntukan RM2.9 bilion untuk bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat; serta RM1 bilion bagi Program Menangani Kos Sara Hidup termasuk Program Jualan Rahmah MADANI.
“Selain itu, kerajaan menyediakan RM791 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan, RM216 juta untuk inisiatif My50 di Lembah Klang, manakala Kad 30 Hari dan Kad Konsesi di bawah BAS.MY bernilai RM200 juta turut diperluas ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Lim menegaskan bahawa penjimatan daripada penyasaran subsidi membolehkan kerajaan menambah peruntukan untuk agenda kebajikan, bantuan kos sara hidup serta pelaburan infrastruktur rakyat yang lebih berkualiti. - DagangNews.com








