KUALA LUMPUR 18 Nov – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan peruntukan lebih RM2 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan digunakan untuk meningkatkan infrastruktur digital di Sabah termasuk internet dan pembangunan bandar pintar.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, peruntukan tersebut merangkumi pelbagai inisiatif utama yang sedang dan bakal dilaksanakan di seluruh negeri, bertujuan memberi manfaat kepada 3.7 juta rakyat Sabah serta mencapai liputan 100% di kawasan berpenduduk.
Menurut MCMC, salah satu inisiatif utama adalah pelaksanaan Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu melalui kerjasama strategik dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang dimeterai pada Disember 2024.
Projek ini melibatkan pembangunan infrastruktur digital bernilai lebih RM300 juta, merangkumi empat komponen utama iaitu perluasan rangkaian gentian optik, penyediaan Wi-Fi awam di lokasi strategik, pemasangan smart poles berintegrasi 4G dan 5G, serta sistem CCTV pintar yang berhubung terus ke Pusat Operasi Bandar Pintar (Integrated Operations Centre).
Selain itu, MCMC berkata, pelaksanaan JENDELA 2 akan diperluas dengan 800 lokasi baharu, terutama di kawasan pedalaman dan pulau-pulau, dengan anggaran kos RM1.4 bilion untuk pembangunan dan operasi selama lima tahun.
Menurut suruhanjaya itu, inisiatif ini bertujuan memperkukuh peluang rakyat Sabah menyertai ekonomi berasaskan pengetahuan.
Sehingga September 2025, sebanyak 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah beroperasi di seluruh Sabah dengan jumlah kos operasi kira-kira RM210 juta bagi tempoh lima tahun.
MCMC berkata, NADI menyediakan ruang pembelajaran komuniti dengan akses internet, latihan kemahiran, perkhidmatan dalam talian dan program literasi digital, memastikan penduduk di kawasan pedalaman turut mendapat manfaat.
Selain itu, kerajaan sedang melaksanakan projek Fiber-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di kem-kem ATM di Sabah.
Menurut MCMC, sembilan kem tentera di Sabah telah menerima sambungan gentian optik terus ke rumah, melibatkan kira-kira 6,900 kediaman dengan jumlah kos sebanyak RM14.2 juta.
Tambah MCMC, semua inisiatif ini difokuskan untuk meningkatkan kualiti rangkaian, pengalaman pengguna, keselamatan dalam talian serta pembangunan bandar pintar, sekaligus menyokong transformasi digital negeri Sabah. - DagangNews.com








