Kumpulan NCT rancang pengembangan hartanah dan industri di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kumpulan NCT rancang pengembangan hartanah dan industri di Sabah

Gambar/FB NCT Group of Companies

KUALA LUMPUR 17 Mac - Kumpulan NCT merancang untuk mengembangkan pembangunan hartanahnya di Sabah sebagai sebahagian daripada strategi peluasan operasi berbanding hanya di Semenanjung Malaysia.

 

Pengarah Projek Kumpulan, Yap Chun Theng berkata, langkah itu selaras dengan permintaan hartanah yang semakin meningkat di negeri itu, yang didorong oleh pertumbuhan ekonomi dan kemajuan infrastruktur.

 

"Pengembangan ke Sabah akan membolehkan kami memanfaatkan pasaran hartanah yang berkembang pesat di kawasan ini, yang semakin meningkat akibat pertumbuhan ekonomi dan pembangunan kemudahan yang pesat,” katanya dalam temubual melalui e-mel bersama StarBiz.

 

Beliau berkata, pelan Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dalam projek bernilai RM442.3 juta, yang bakal meningkatkan kapasiti Terminal 1 kepada 12 juta penumpang setahun menjelang pertengahan 2028 berbanding sembilan juta sekarang, akan meningkatkan lagi kesalinghubungan dan menarik lebih ramai pelabur.

 

Chun Theng berkata, sebagai sebahagian daripada pengembangan di Sabah, kumpulan akan melancarkan pembangunan kediaman baharu tahun ini, yang menawarkan 75 unit rumah teres tiga tingkat yang terletak 10 hingga 15 kilometer dari Kota Kinabalu.

 

Sementara itu, Yap berkata, syarikatnya juga telah berkembang daripada menjadi pemaju 'penyelamat' kepada perintis projek-projek baharu, dengan terus memberi tumpuan kepada kemampuan perumahan dan pembinaan komuniti, sambil memperluas jejaknya di seluruh negara.

 

Antara projek kediaman terbaharunya ialah fasa dua Ion Belian Garden di Batang Kali, Selangor, yang menawarkan campuran rumah teres satu dan dua tingkat serta pejabat kedai dua tingkat, selepas fasa pertama habis dijual.

 

Syarikat itu juga memperkenalkan Ion Estuary Park di Ayer Keroh, Melaka, dengan fasa pertama yang menawarkan unit berkonsepkan gabungan kondominium dan hotel yang terdiri daripada 375 buah rumah yang menggabungkan elemen hospitaliti dan kediaman.

 

Selain projek kediaman, Kumpulan NCT juga berkembang dalam sektor industri dengan menyepadukan prinsip alam sekitar, sosial,dan tadbir urus (ESG) serta teknologi maju dalam pembangunannya.

 

Chun Theng menekankan, NCT Smart Industrial Park (NSIP) muncul sebagai peneraju dalam pembangunan industri berteraskan ESG, mendapat pujian atas daya cipta dan kelestarian sebagai Taman Industri Terurus pertama di Malaysia.

 

Bagi tahun 2025, beliau berkata, syarikat merancang untuk menyiapkan fasa pertama Taman Industri Pintar NCT (NSIP) dan memulakan pembangunan NCT Innosphere, sebuah taman industri baharu di Bukit Kayu Hitam, Kedah, yang memberi tumpuan kepada kelestarian dan daya cipta.

 

Sementara itu, beliau menjelaskan, segmen hospitaliti Kumpulan NCT juga semakin mendapat perhatian, dengan projek utama yang dijangka meningkatkan tarikan pelancongan Malaysia.

 

Katanya, pelancaran Grand Ion Majestic (GIM) di Genting Highlands yang menempatkan Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel pada suku kedua 2025, akan meletakkannya sebagai destinasi gaya hidup utama.

 

Selain itu, beliau berkata, projek berkenaan juga akan menyaksikan pembinaan Hard Rock Cafe pertama di Asia Pasifik yang terletak di lokasi tertinggi, membawa gabungan unik muzik, hidangan dan hiburan ke kawasan tersebut.

 

"Hasrat hospitaliti kami juga tetap kukuh. Kami mahu mencipta lebih banyak destinasi bertaraf dunia yang menggabungkan kemewahan dengan kelestarian, sekali gus meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai hub pelancongan global," tambahnya. - DagangNews.com