KUALA LUMPUR 5 Mac - KPJ Healthcare menyasarkan penambahan 300 katil baharu pada FY25 sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang penambahan 6,000 katil menjelang FY30 bagi menyokong pertambahan pesakit, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, pada akhir FY24, jumlah katil mencecah 3,847 dengan kadar penggunaanya (BOR) meningkat kepada 69% berbanding 67% pada FY23.
Firma penyelidikan itu berkata, strategi serampang dua mata yang bertujuan meningkatkan hasil ini akan disokong oleh inisiatif perolehan berpusat, dengan lebih 85% daripada 29 hospitalnya sudah bersedia.
"Kami menjangkakan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) FY24 yang diperkukuh sebanyak 24% akan kekal berdaya tahan antara FY25 hingga FY27.
"Selain itu, keupayaan pembedahan robotik dan kualiti penjagaan KPJ yang dipertingkatkan kekal menarik kepada pesakit asing terutamanya untuk hospital tumpuan di Lembah Klang (Ampang Puteri, Hospital Pakar Damansara 2) dan Johor (dalam JS-SEZ)," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih tinggi sebanyak RM353.81 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berbanding RM263.4 juta pada FY23, dipacu keberkesanan strategi pengoptimuman kos dan kecekapan operasi serta pelaburan mengutamakan pesakit.
Hasil mencecah RM3.92 bilion, berbanding RM3.42 bilion pada tahun sebelumnya.
Selain itu, terdapat juga keuntungan bersih daripada pelupusan perniagaan penjagaan warga emas di Australia, yang direkodkan di bawah operasi yang dihentikan.
Maybank IB menyukai model pusat kecemerlangan KPJ kerana ia membolehkan penyatuan perkhidmatan/kepakaran perubatan dan infrastruktur kritikal khusus di hospital utamanya, mengurangkan pertindihan peralatan perubatan kos tinggi dan menggalakkan aliran pesakit yang cekap.
KPJ juga telah memulakan latihan analisis campuran kes rawatan berkaitan diagnosis (DRG) bagi meningkatkan kecekapan operasinya kerana ia bersiap sedia untuk potensi pelaksanaan DRG dalam jangka panjang.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM3.00 sesaham," katanya.- DagangNews.com








