KUALA LUMPUR 2 Julai – Kompleks Arena Seremban bernilai RM250 juta yang dibangunkan oleh Karisma Perwira Sdn Bhd akan memacu pertumbuhan ekonomi setempat sekaligus menarik lebih banyak pelaburan baharu.
Karisma Perwira adalah anak syarikat Yayasan Lee Tian Hock Yong Chou Lian.
Projek tersebut dibangunkan atas tanah seluas 1.8 hektar dengan binaan 650,000 kaki persegi yang menampilkan lima komponen utama iaitu Karisma Arena, Arena Premier Hotel, Menara Karisma, Arena Square dan Arena Residences.
Pengasas yayasan tersebut iaitu Tian Hock berkata, komponen utama kompleks tersebut iaitu Karisma Arena menempatkan stadium tertutup setinggi tujuh tingkat dengan kapasiti 3,000 tempat duduk dan tempahannya akan mula dibuka pada bulan depan.
"Arena Premier Hotel pula menyediakan 99 bilik penginapan lengkap dengan dewan mesyuarat, restoran dan tempat letak kereta bawah tanah.
"Selain itu, Menara Karisma menawarkan ruang pejabat tujuh tingkat manakala Arena Square terdiri daripada 10 unit komersial untuk perniagaan runcit," katanya dalam satu kenyataan.
Pengurusan projek tersebut diselia oleh Matrix Concepts Holdings Bhd yang menyatakan kompleks itu direka sebagai hab komuniti dan gaya hidup moden untuk memenuhi permintaan pasaran.
Antara acara yang boleh dianjurkan di dalam kompleks itu ialah konsert, sukan stadium tertutup, e-Sukan, seminar korporat serta program kekeluargaan.
Tambahnya, Kompleks Arena Seremban mencerminkan komitmen jangka panjang yayasan itu dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.
"Ini bukan sekadar pembangunan fizikal, malah ia juga salah satu hab komuniti untuk mendekatkan masyarakat melalui perniagaan, budaya, rekreasi dan gaya hidup terkini yang moden," katanya. - DagangNews.com








