KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) meramalkan harga minyak sawit kekal tidak menentu pada separuh kedua tahun 2025 apabila industri memasuki kitaran pengeluaran puncak, dengan pengeluaran Malaysia mula mendatar dan pertumbuhan yang lebih perlahan di Indonesia.
Kumpulan perladangan itu berkata permintaan biodiesel yang lebih kukuh di Indonesia, daya saing minyak sawit yang bertambah baik, serta bekalan kacang soya global yang semakin ketat dijangka menyokong harga dalam beberapa bulan akan datang.
Katanya, harga minyak sawit sempat mencecah RM4,500 satu tan pada suku kedua 2025 sebelum menyusut kepada RM3,800 pada akhir April berikutan peningkatan bermusim dalam pengeluaran Malaysia.
Namun, harga pulih semula pada bulan Jun, disokong cadangan mandat bahan api bio di Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat.
Bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2025 (3QFY25), untung bersih KLK melonjak 44.3% kepada RM346.6 juta, atau 31.10 sen sesaham, daripada RM240.2 juta, atau 21.90 sen, pada tempoh sama tahun lalu.
Hasil suku tahunan meningkat 16.9% kepada RM6.43 bilion berbanding RM5.5 bilion sebelum ini.
Bagi tempoh sembilan bulan sehingga 30 Jun 2025 (9MY25), KLK mencatat keuntungan bersih sebanyak RM721.3 juta, meningkat 23.5% daripada RM584.2 juta tahun sebelumnya, manakala hasil naik 12.8% kepada RM18.7 bilion berbanding RM16.6 bilion.
KLK berkata, segmen perladangan kekal sebagai penyumbang utama pendapatan, dengan keuntungan sebelum cukai untuk tahun semasa meningkat 51% kepada RM1.65 bilion daripada RM1.09 bilion tahun sebelumnya, disokong purata harga jualan yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit, serta peningkatan dalam jumlah jualan MSM.
Kumpulan itu berkata, usaha berterusan meningkatkan hasil dan produktiviti tandan buah segar (BTS) telah mula menunjukkan hasil, sekali gus membantu segmen tersebut mengekalkan sumbangan kukuhnya.
Bagi segmen pembuatan, margin penapisan dijangka kekal ketat disebabkan harga yang kompetitif dan kos bahan mentah yang tidak menentu. Segmen oleokimia pula dijangka pulih secara beransur-ansur daripada paras terendah, disokong oleh pasaran terpilih dan kapasiti baharu, walaupun kadar pemulihan masih tidak menentu.
Kumpulan itu berkata, ia akan memanfaatkan kelembapan pasaran untuk memperkukuh proses, merasionalisasi operasi dan mengoptimumkan sumber, sementara pihak pengurusan memberikan tumpuan yang lebih kepada usaha memulihkan perniagaan yang mengalami kerugian.
KLK menyatakan, pihaknya terus memantau pelaburan dalam syarikat kimia khusus tersenarai di UK, Synthomer plc, yang prestasinya masih tertekan walaupun terdapat tanda-tanda penambahbaikan dalam beberapa segmen.
Langkah penjimatan kos Synthomer telah memberikan sedikit sokongan, namun KLK mencatatkan kerugian ekuiti sebanyak RM64 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Jun, berbanding RM87 juta pada tahun sebelumnya. Kerugian bukan tunai ini mungkin mendorong kumpulan untuk menilai potensi penurunan nilai pelaburan tersebut pada akhir tahun kewangan.
Secara keseluruhan, kumpulan menjangkakan prestasi yang lebih kukuh bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (FY25) berbanding FY24.
“Kitaran perbelanjaan modal utama telah selesai dengan pelaburan penting sudah pun dilaksanakan, dan perbelanjaan modal kini telah kembali ke tahap normal.
“Dengan penjanaan tunai yang kekal kukuh, kumpulan akan terus mengamalkan pendekatan yang berhati-hati dan berdisiplin dalam mengharungi baki tahun FY25, mengambil kira landskap makroekonomi yang mencabar,” kata KLK.
Dalam perkembangan berasingan, pemegang saham utama KLK, Batu Kawan Berhad mencatatkan kenaikan keuntungan bersih sebanyak 39.6% bagi suku kedua FY25 kepada RM182.9 juta, atau 46.9 sen sesaham, sekali gus meningkatkan keuntungan sembilan bulan sebanyak 21.6% kepada RM398.4 juta, atau 102.2 sen.
Perolehan suku tahunan meningkat 16.3% kepada RM6.6 bilion, manakala perolehan sembilan bulan naik 12% kepada RM19.2 bilion.- DagangNews.com







