KLCI berupaya cecah 1,640 mata disokong momentum positif luar negara – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI berupaya cecah 1,640 mata disokong momentum positif luar negara – HLIB

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 NovFBM KLCI dijangka berupaya menguji paras 1,640 mata dalam tempoh terdekat, disokong oleh sentimen positif pasaran global, pengukuhan ringgit dan aliran masuk dana asing sederhana, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB)

 

Firma penyelidikan itu menilai momentum semasa kekal konstruktif meskipun ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China masih menjadi risiko utama.

 

Pada penutupan dagangan hari ini, KLCI melonjak 7.4 mata kepada 1,634.8, meneruskan kenaikan selepas sesi sebelumnya, dengan aktiviti belian semula dalam kaunter berwajaran tinggi seperti CIMB, IHH Healthcare, Public Bank, 99SMART, YTL dan Maxis mendorong pengukuhan indeks utama itu.

 

Data menunjukkan pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk kali keempat dalam enam sesi terakhir, berjumlah RM198 juta (November MTD: +RM173 juta; YTD: –RM18.98 bilion). 

 

Dalam masa sama, pelabur runcit tempatan turut mencatat aliran masuk bersih +RM8 juta, manakala institusi tempatan menjadi penjual bersih sebanyak RM206 juta.

 

HLIB menjelaskan sentimen positif global dipacu oleh keyakinan terhadap kemungkinan penamatan penutupan kerajaan AS minggu ini dan jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) pada Disember. 

 

Ini dijangka terus menyokong selera risiko di pasaran serantau termasuk Malaysia.

 

“Selagi indeks kekal di atas purata pergerakan 20 hari (1,616), momentum menaik dijangka berterusan dengan rintangan pada 1,640 (downtrend resistance) dan 1,659 (paras tinggi YTD, 3 Okt),” kata HLIB dalam nota pasaran hari ini.

 

Dari sudut teknikal, sebarang penurunan dijangka disokong kukuh di paras 1,600–1,615, disokong oleh pengukuhan ringgit (+7.5% YTD berbanding USD), penilaian pasaran menarik (CY2026 P/E: 14.2x berbanding purata 5 tahun: 17.2x), serta pegangan asing yang hampir ke paras terendah sejarah pada 18.8% (setakat Oktober).

 

HLIB turut memberi amaran ketegangan perdagangan AS–China masih berpotensi memberi tekanan jualan, terutama menjelang pilihan raya negeri Sabah dan musim laporan kewangan tempatan. 

 

Namun, secara keseluruhan, momentum pasaran dijangka kekal positif dan berdaya tahan.

 

Selepas merosot daripada paras tertinggi tahunan 1,658.7 (3 Okt) kepada 1,601.3 (23 Okt), KLCI kini menunjukkan tanda pemulihan kukuh, menutup pada 1,634.8  sedikit di bawah garis sokongan jangka panjang dari 1,386 (9 Apr).

 

Sementara itu, pasaran Asia ditutup bercampur-campur, apabila pelabur menilai semula risiko geopolitik selepas laporan China sedang membangunkan sistem eksport unsur nadir bumi yang boleh mengehadkan akses syarikat AS, sekali gus menambah ketegangan terhadap rundingan perdagangan dua hala.

 

Namun, langkah Dewan Perwakilan AS meluluskan undian untuk menamatkan penutupan kerajaan terpanjang dalam sejarah negara itu dilihat membantu mengimbangi tekanan luaran terhadap pasaran serantau. - DagangNews.com