KLCCP Stapled dijangka catat prestasi 4QFY2025 lebih kukuh berikutan aktiviti perayaan, pelancongan - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCCP Stapled dijangka catat prestasi 4QFY2025 lebih kukuh berikutan aktiviti perayaan, pelancongan - penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov – KLCCP Stapled Group (KLCCP) dijangka mencatat prestasi lebih kukuh pada suku keempat FY2025 berikutan peningkatan perbelanjaan sempena musim perayaan dan aktiviti pelancongan yang lebih rancak, menurut penganalisis.

 


Maybank Investment Bank menjangkakan prestasi stabil bagi suku keempat FY25 disokong oleh kontrak pejabat jangka panjang (semakan seterusnya pada 2026) dan momentum runcit yang kukuh melalui penambahbaikan campuran penyewa. 

 

“Pemulihan hotel dijangka lebih kukuh pada suku keempat 2025 berikutan permintaan acara dan korporat yang tinggi, termasuk sokongan Sidang Kemuncak ASEAN, dengan kadar penghunian 3Q25 sekitar 58% (56% YTD). 

 

“Menjelang 2026, kawasan KLCC (KLCC Park & Suria KLCC) dijangka mendapat manfaat daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, disokong oleh kalendar penuh yang dirancang bersama Tourism Malaysia,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan FY25–27 dengan kos pembiayaan kekal stabil melalui struktur hutang 100% kadar tetap dengan kos purata 3.93%. 

 

Gearing syarikat pada 0.23x (hutang kepada aset) menyediakan ruang untuk inisiatif penambahbaikan aset yang berterusan pada 2026. 

 

Maybank IB berkata, KLCCP mempunyai ketelusan pendapatan yang kukuh, walaupun dengan pemangkin jangka pendek ya ng terhad.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KLCCP Stapled Group catat hasil RM429.7 juta, keuntungan bersih meningkat pada 3QFY202

 

Kumpulan itu mengisytiharkan DPU (dividen per unit) sebanyak 9.50 sen bagi 3Q25, meningkat 3.3% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, menjadikan DPU keseluruhan 9M25 sebanyak 27.9 sen (+2% YoY).

 

Maybank IB berkata, ketahanan portfolio syarikat tetap kukuh merentas semua segmen, disokong oleh struktur penyewaan pejabat defensif jangka panjang.

 

Seiring itu, Maybank IB telah menaikkan sasaran harga DDM kepada RM9.00 daripada RM8.76 dan mengekalkan cadangan Pegang.

 

Sementara itu, CGS International berkata, suku keempat Kumpulan akan lebih kukuh dipacu oleh perbelanjaan perayaan dan peningkatan aktiviti pelancongan yang biasanya menyumbang kepada prestasi lebih baik bagi aset runcit dan hotel.

 

“Kumpulan mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM610.2 juta bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFY25), selaras dengan jangkaan firma penyelidikan dan konsensus Bloomberg, yang mewakili 70-72% daripada anggaran tahunan.

 

“Bagi suku ketiga FY25, KLCCP merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM208.9 juta, meningkat 5% berbanding suku sebelumnya dan 1% berbanding tempoh sama tahun lepas. 

 

“Peningkatan suku ke suku ini didorong oleh prestasi yang lebih baik merentas semua segmen perniagaan dan dijangka terus kukuh pada suku keempat,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

CGSI mengekalkan cadangan Pegang untuk saham KLCCP dengan sasaran harga tidak berubah pada RM8.85, berdasarkan model DDM dengan kos ekuiti 7.3% dan kadar pertumbuhan terminal 2%. - DagangNews.com