KJ, Kian Ming dan Tony Pua jadi pensyarah Program Ijazah Sarjana Muda Politik dan Ekonomi Taylor’s University | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KJ, Kian Ming dan Tony Pua jadi pensyarah Program Ijazah Sarjana Muda Politik dan Ekonomi Taylor’s University

Gambar kecil dari kiri, Khairy Jamaluddin, Profesor Dr Ong Kian Ming dan Tony Pua.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Mac - Pernahkah anda terfikir untuk menjadi seorang pembuat dasar, merancang strategi seperti seorang ahli ekonomi dan berdebat seperti seorang ahli falsafah, semuanya dalam satu masa? 

 

Taylor’s University kini memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE) (Kepujian) yang pertama di Malaysia, yang bakal mengubah landskap pendidikan negara.

 

Diinspirasikan oleh program PPE yang terkenal di Oxford, institusi pengajian tinggi terkemuka yang melahirkan pemimpin dunia, kursus tiga tahun itu disesuaikan dengan landskap politik dan sosio-ekonomi unik Malaysia.

 

Para pelajar bukan sahaja akan mempelajari tadbir urus dan dasar global, malah turut mendalami isu-isu dunia sebenar seperti keadilan sosial, kemampanan dan pembangunan ekonomi.


 
Antara kekuatan utama program tersebut adalah Panel Penasihat Industri (IAP) yang menggabungkan beberapa pembuat dasar, ahli ekonomi, akademik dan pemimpin korporat terkemuka di Malaysia.

 

Antaranya ialah Pro Naib Canselor bagi Penglibatan Luar di Taylor’s University yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Profesor Dr Ong Kian Ming; bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; bekas Ahli Parlimen dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua; dan sejarawan dan ahli sains politik, Profesor Dr Farish A. Noor.

 

 

taylor's

 

 

Selain itu, panel berkenaan turut dianggotai bekas Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS dan penyelidik tadbir urus, Dr Tricia Yeoh; Felo Kanan di ISEAS-Yusof Ishak Institute, Dr Lee Hwok-Aun; dan bekas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan.

 

Melalui bimbingan, kuliah dan kerjasama penyelidikan, tokoh-tokoh itu akan memberi pendedahan langsung kepada pelajar tentang pembuatan dasar, tadbir urus dan pembangunan ekonomi.

 

Kian Ming berkata, program PPE tersebut menggabungkan kecemerlangan akademik dengan penglibatan industri, membekalkan pelajar dengan kemahiran analitik, wawasan strategik dan pemikiran etika yang diperlukan untuk memacu kemajuan dalam dunia yang sentiasa berubah.

 

"Program ini memberikan graduan kelebihan daya saing dan memastikan mereka sepenuhnya bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan sejurus tamat pengajian," katanya semasa pelancaran program di Kampus Lakeside Taylor’s University.

 

Sementara itu, Pengarah Program, Dr Deboshree Ghosh berkata, PPE berbeza dengan kursus lain kerana ia melengkapkan perjalanan pembelajaran terstruktur, memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan strategik dan penyelesaian masalah.

 

"Ia juga mampu menjadikan graduan pekerja yang cemerlang dalam industri masing-masing," jelasnya.

 

Khairy yang juga graduan PPE Oxford berkata, lulusan PPE boleh diibaratkan sebagai 'pisau Swiss' dalam tenaga kerja kerana mereka serba boleh, tajam dan sentiasa bersedia untuk bertindak.

 

"Mereka adalah individu yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang luas dalam pelbagai bidang. 

 

"Walaupun kita mempunyai pakar, kita memerlukan seseorang yang boleh menyelami dengan mendalam dan mempunyai visi yang jelas tentang bidang tersebut," katanya.

 

Menggunakan analogi bola sepak, beliau mengibaratkan graduan PPE sebagai penggerak permainan, pemikir pantas yang boleh memahami situasi kompleks dan memandu keputusan ke arah yang betul.

 

Dalam era di mana kecerdasan buatan (AI), etika dan keadilan sosial membentuk masa depan, beliau berkata, kemahiran sedemikian lebih berharga.

 

Sempena pelancaran program PPE, Taylor’s University turut menawarkan biasiswa 100% untuk kemasukan April dan September 2025, serta biasiswa 10% untuk kohort pertama pada bulan April ini. - DagangNews.com