KUALA LUMPUR 5 Mac - Pacific Trustees Berhad, pemegang amanah KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) menjalikan kerjasama 20 tahun dengan KJ Technical Services Sdn Bhd, anak syarikat KJTS Group Berhad bagi menyediakan rumusan penyejukan mampan di tujuh KIPMall di seluruh negara.
Katanya, inisiatif strategik itu menjamin pengurangan 15% dalam kos tenaga untuk loji penyejuk selepas pemulihan perbelanjaan modal, sambil mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara dan meningkatkan kecekapan tenaga.
Penjimatan kos tenaga sebanyak 15% yang dijamin telah disepadukan ke dalam struktur yuran perjanjian, menunjukkan pendekatan berhemat KIP REIT untuk mengurus kos operasi yang semakin meningkat.
KJTS akan membiayai dan menguruskan kerja-kerja pengubahsuaian yang meluas untuk menaik taraf sistem penyejukan bagi meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan kesan alam sekitar.
Kerja-kerja naik taraf yang akan menelan belanja kira-kira RM25.3 juta, akan bermula pada 1 April 2025 dan akan disiapkan pada 31 Disember 2025.
Dalam tempoh operasi dan penyelenggaraan dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2045, KJTS akan membekalkan air sejuk dan menguruskan sistem menggunakan teknologi termaju dan pemantauan secara optimum setiap hari.
Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong berkata, kerjasama dengan KJTS itu menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam komitmen kumpulan terhadap kemampanan.
"Pelaksanaan sistem penyejukan cekap tenaga mengukuhkan matlamat kami untuk mengurangkan jejak karbon sambil memaksimumkan kecekapan kos.
"Fokus kami adalah untuk mencapai hasil yang ketara dalam kedua-dua penjimatan kos dan impak alam sekitar.
"Dengan menyepadukan ruusan pengurusan tenaga termaju, kami bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi pusat beli-belah tetapi juga memberi sumbangan bermakna bagi mengurangkan pelepasan karbon," katanya dalam satu kenyataan.
Proses naik taraf itu akan memanfaatkan KIPMall Bangi, Kota Warisan, Senawang, Melaka, Tampoi, Masai dan Kota Tinggi.
Inisiatif itu sejajar dengan strategi KIP REIT bagi meningkatkan daya tahan aset, mengurangkan kos operasi dan menyokong agenda hijau Malaysia. - DagangNews.com








