Keuntungan Farm Fresh diyakini meningkat didorong kos susu tepung rendah, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Farm Fresh diyakini meningkat didorong kos susu tepung rendah, kata RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - Keuntungan Farm Fresh Bhd diyakini terus meningkat pada suku tahun akan datang didorong kos susu tepung penuh (WMP) yang lebih rendah pada 2025 walaupun berlaku sedikit kenaikan baru-baru ini, kata RHB Research.

 

Katanya, peningkatan sumbangan daripada segmen penjualan aiskrim, minuman coklat dan produk susu dewasa juga akan memberi sokong kepada margin keuntungan selain memacu pertumbuhan jualan ke hadapan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain mengembangkan portfolio produk ais krim dan minuman coklat, pelancaran produk baharu lain dalam perancangan termasuk mentega, bagi mengukuhkan lagi tawaran hotel, restoran dan kafe (HORECA) dan susu kultur bagi membina ekuiti jenamanya dalam pasaran kanak-kanak.

 

"Farm Fresh berjaya memulakan operasi pengeluaran Filipina mengikut rancangan, selepas mewujudkan kehadiran dan jenama, dibina melalui import lebih awal.

 

"Kami menjangkakan kumpulan itu akan terus memanfaatkan ekuiti jenamanya yang kukuh bagi menembusi lebih banyak segmen pasaran dalam industri tenusu, sekali gus memacu pertumbuhan hasilnya," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Farm Fresh catat peningkatan untung bersih lebih 2 kali ganda kepada RM79.6 juta pada 9MFY25 dipacu pelancaran produk baharu

 

Terdahulu, hasil kumpulan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2024 (9MFY25) meningkat 23.9% kepada RM737.5 juta berbanding RM595.4 juta pada 9MFY24.

 

Untung bersih kumpulan itu pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2024 (3QFY25) juga meningkat kepada RM26.2 juta berbanding RM20.6 juta dengan peningkatan hasil RM246.6 juta berbanding RM211.6 juta pada 3QFY24.

 

Inside Scoop dan Sin Wah merupakan penyumbang kepada peningkatan hasil dan pendapatan Farm Fresh dalam tempoh yang ditinjau.

 

RHB Research berkata, pendirian positif itu adalah berdasarkan landasan yang jelas untuk pertumbuhan, penyampaian pendapatan yang lebih konsisten, dan visi pengurusan yang bercita-cita tinggi, yang sepatutnya menjamin premium penilaian.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.11 sesaham.- DagangNews.com