KUALA LUMPUR 27 Feb – Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Bhd merudum kepada RM557.24 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), berbanding RM571.08 juta pada FY2024.
Penurunan ini disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi, peningkatan peruntukan bersih untuk kerugian pembiayaan, dan kos pembiayaan yang meningkat. Namun, sebahagiannya telah diimbangi oleh peningkatan pendapatan bersih.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bank Islam berkata pendapatan bagi FY2025 meningkat kepada RM5.09 bilion daripada RM4.70 bilion sebelum ini.
Bank Islam turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 4.45 sen sesaham yang akan dibayar pada 3 April 2026.
Pegawai Bertanggungjawab Bank Islam, Mizan Masram berkata bank itu akan terus memperluaskan akses kewangan, mempercepatkan industri kewangan digital berasaskan syariah dan menyediakan penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.
“Kumpulan kekal fokus untuk kekal relevan dan daya saing melangkaui tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi segmen operasi, perbankan runcit kumpulan mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM1.78 bilion bagi FY2025, meningkat sedikit sebanyak 1.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, terutamanya disumbangkan oleh peningkatan pendapatan bancatakaful dan komisen akaun emas-i.
Perbankan institusi kumpulan pula mencatatkan peningkatan 16.1 peratus dalam pendapatan bersih kepada RM974.4 juta bagi FY2025, didorong oleh peningkatan pendapatan bukan berasaskan dana, terutamanya daripada pendapatan pelaburan dan keuntungan bersih daripada transaksi tukaran asing.
Pendapatan bersih turut meningkat hasil daripada pendapatan berasaskan dana yang lebih tinggi, menurut kenyataan itu.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, keuntungan bersih meningkat kepada RM175.05 juta daripada RM172.64 juta setahun sebelumnya, manakala pendapatan bertambah kepada RM1.30 bilion daripada RM1.24 bilion sebelum ini. – DagangNews.com








