KUALA LUMPUR 28 Nov – Inari Amertron Berhad dijangka menghadapi tempoh pemulihan yang perlahan selepas mencatat keuntungan suku pertama FY26 (1QFY26) lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan syarikat pengeluar komponen elektrik tersebut berjumlah RM55.1 juta, merosot 28.8% daripada RM77.4 juta pada 1QFY25, manakala pendapatan pula jatuh 16% kepada RM325.8 juta daripada RM388 juta setahun lalu.
“Penurunan ini disebabkan perubahan campuran produk yang menjejaskan margin keuntungan.
“Keseluruhannya, prestasi kewangan 1QFY26 Inari berada di bawah jangkaan kami, menyumbang 17.1% daripada anggaran keuntungan FY26 penuh,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Inari mengumumkan dividen 1QFY26 sebanyak 1.33 sen, mewakili kadar pembayaran dividen 97.8% bagi 1QFY26 dan ia lebih tinggi berbanding dividen 1QFY25 sebanyak 1 sen.
MBSB Research berkata, ia menurunkan ramalan sumbangan pendapatan terutamanya daripada segmen telefon pintar yang menyumbang lebih 60% pendapatan kumpulan.
“Anggaran keuntungan FY26/27/28 dikurangkan masing-masing -13.5%/-8.5%/-8.8%.
“Namun, terdapat sedikit penyemakan sasaran harga saham kepada RM2.09 dari RM2.12 sebelumnya, kerana kami menggunakan PER sasaran lebih tinggi 26.9x (dari 22.7x sebelumnya), iaitu purata lima tahun sejarah syarikat.
“PER lebih tinggi ini mengambil kira usaha aktif kumpulan untuk meningkatkan keupayaan pembungkusan maju serta mempelbagaikan aliran pendapatan, khususnya pengambilalihan Lumiled yang dicadangkan bersama Sanan Optoelectronics Co. Ltd yang dijangka selesai menjelang akhir 3QFY26 atau 1QCY26,” kata firma tersebut. - DagangNews.com








