Kerajaan mengambil pendekatan lebih berwaspada dan telus dalam urusan perolehan aset ketenteraan dengan menetapkan pelaksanaannya secara kerajaan dengan kerajaan (G2G).
Langkah ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam satu temubual bersama media Perancis menandakan perubahan signifikan dalam dasar pertahanan negara.
Melalui mekanisme G2G, urus niaga dilakukan terus antara dua kerajaan, biasanya dengan termeterainya satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang sah dari sudut perundangan antarabangsa.
Langkah ini bukan sekadar mengurangkan ruang rundingan yang terlalu banyak pihak, tetapi juga membanteras elemen perantara yang sering menjadi saluran penyelewengan dan rasuah dalam projek pertahanan berprofil tinggi.

Ketegasan serupa disuarakan Perdana Menteri dalam ucapannya pada Februari lalu.
Tegasnya, beliau tidak akan sesekali membenarkan sebarang pihak dalam sektor pertahanan negara terlibat dalam amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Perbuatan sedemikian katanya bukan sahaja mengkhianati amanah yang diberikan, tetapi juga merosakkan keselamatan serta keamanan negara.
Jika dilihat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, semua perolehan utama Kementerian Pertahanan (Mindef) dilakukan secara G2G.



Sebagai contoh pembelian 2 pesawat rondaan maritim P-72M dengan Leonardo Itali, perolehan dron ANKA MALE-UAS buatan Türkiye dan 18 buah pesawat tempur ringan FA-50M dari Korea.
Perolehan lain dari Türkiye seperti 3 kapal misi pesisir (LMS) TLDM dengan firma STM dan kapal pelbagai peranan Maritim Malaysia.
Begitu juga pembelian 30 pesawat tempur F/A-18D Hornet terpakai Kuwait yang dilakukan secara rundingan terus dengan negara tersebut.
Kontrak baharu yang bakal dimeterai pada masa akan pula seperti pembelian kapal sokongan logistik pelbagai peranan (MRSS) TLDM, kapal LMS Batch 3, sistem meriam mudah gerak 155m dan meriam 105mm.



Sehubungan itu, meneliti ketegasan Perdana Menteri ini, ia satu isyarat bahawa Malaysia tidak mahu lagi mengulangi kesilapan lampau seperti yang berlaku dalam skandal perolehan kapal selam Scorpene.
Ketika itu, dua buah kapal selam kelas Scorpene dibeli daripada syarikat limbungan tentera laut Perancis, DCN (kini Naval Group) dalam kontrak bernilai AS$1.2 bilion (kira-kira RM5.2 bilion).
Sebuah lagi kapal selam kelas Agosta pula diberi kerajaan Perancis bagi tujuan latihan kru TLDM di sana.
Transaksi itu menjadi titik hitam dalam sejarah pertahanan negara apabila didakwa berlaku bayaran komisen mencurigakan berjumlah 114 juta Euro (RM529 juta) kepada sebuah firma berkaitan Abdul Razak Baginda, penasihat kepada Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh pihak berkuasa Perancis akhirnya membawa kepada pendakwaan sembilan individu termasuk syarikat gergasi pertahanan Thales di mahkamah Perancis.


Kesan reputasi dan keyakinan terhadap sistem perolehan pertahanan Malaysia masih lagi dirasai hingga ke hari ini.
Di Malaysia, siasatan berkaitan skandal kapal selam Scorpene masih diteruskan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jun lalu dilaporkan memperoleh petunjuk baharu dalam siasatan terhadap pembelian kapal selam Scorpene melibatkan sebuah syarikat tempatan dipercayai melakukan pembayaran berjumlah RM42 juta tanpa pengetahuan lembaga pengarah.
Jumlah itu dikatakan sebahagian daripada kontrak RM529 juta untuk perkhidmatan sokongan berhubung pembelian kapal selam itu.
Difahamkan, berdasarkan penemuan terbaru, badan pencegahan rasuah itu telah menilai semula siasatannya dengan tumpuan diberikan kepada petunjuk baharu.



Dua buah kapal selam Scorpene tersebut iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak, masing-masing tiba di Malaysia pada September 2009 dan Julai 2010.
Kapal selam terpakai kelas Agosta pula kini dijadikan sebuah muzium di Melaka.
Selain ketelusan dan meningkatkan kepercayaan antara negara, pendekatan perolehan secara G2G juga mempunyai nilai strategik lain yang tidak kurang pentingnya.
Ia juga membuka peluang kerjasama teknologi, latihan dan sokongan logistik jangka panjang.
Ini sekali gus menjadikan perolehan bukan sekadar pembelian kelengkapan atau senjata, tetapi juga satu pelaburan dalam kesiapsiagaan dan pembangunan keupayaan pertahanan negara.
Namun begitu, pelaksanaan G2G tetap memerlukan pemantauan yang rapi, ketelusan dalam butiran kontrak dan mekanisme semak dan imbang.
Tanpa elemen-elemen ini, risiko penyalahgunaan kuasa masih tetap wujud, walaupun dengan kehadiran MoU antara kerajaan.
Kesimpulannya, peralihan kepada perolehan secara G2G adalah satu langkah reformasi penting dalam dasar pertahanan Malaysia.
Ia bukan sahaja menjawab kebimbangan rakyat selepas skandal Scorpene tetapi juga mencerminkan kesungguhan kerajaan hari ini untuk memastikan wang negara tidak disalah guna.
Adalah penting tadbir urus perolehan pertahanan dilakukan lebih bersih, cekap dan berintegriti agar tidak ada pihak yang mengaut keuntungan. - DagangNews.com








