Ketegangan perdagangan AS-China diramal beri manfaat kepada sektor semikonduktor Malaysia, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketegangan perdagangan AS-China diramal beri manfaat kepada sektor semikonduktor Malaysia, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Feb — TA Securities meramalkan sektor semikonduktor Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menerima manfaat daripada jualan global yang stabil dan perubahan dinamik perdagangan.

 

Dalam nota kajiannya, firma penyelidikan itu menyatakan bahawa ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dengan China yang meningkat boleh membawa kepada peningkatan lencongan perdagangan di bawah strategi China Plus One.

 

Malahan ujarnya lagi, senario tersebut berpotensi untuk memihak pula kepada industri semikonduktor Malaysia yang sebahagian besar masih diterajui oleh permintaan berterusan kepada produk berasaskan logik dan memori.

 

“Melihat ke hadapan, Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) sendiri ada meramalkan bahawa pertumbuhan 11.2 peratus tahun ke tahun untuk pasaran semikonduktor pada 2025 yang masih akan diterajui oleh AS," katanya.

 

Sementara itu, segmen semikonduktor lain dijangka berkembang pada kadar sederhana, menandakan pengembangan stabil untuk keseluruhan industri tersebut yang dijangka menyaksikan pertumbuhan YoY sebanyak dua angka.

 

AS menyasarkan untuk meningkatkan tiga kali ganda kapasiti pembuatan cip domestiknya menjelang 2032 sebagai sebahagian usaha pengukuhan rantaian bekalan semikonduktor dan memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.

 

Pasaran semikonduktor global sebenarnya mengehadkan sepanjang 2024 pada tahap tinggi, dengan jumlah jualan bagi Disember mencecah AS$57.0 bilion, menurut laporan Persatuan Industri Semikonduktor (SIA).

 

Untuk setahun penuh, jualan semikonduktor global mencapai rekod paras paling tinggi sepanjang masa sebanyak AS$627.6 bilion, iaitu peningkatan 19.1 peratus daripada hanya AS$526.8 bilion pada 2023.

 

Prestasi rekod positif tersebut disokong oleh permintaan kukuh untuk produk logik dan memori, serta turut didorong oleh penggunaan secara meluas produk yang berteknologi kecerdasan buatan (AI).

 

Produk logik terus menerajui pasaran dengan menyumbang AS$212.6 bilion (33.9 peratus daripada jumlah jualan), diikuti oleh produk memori sebanyak AS$165.1 bilion (26.3 peratus daripada jumlah jualan).

 

Walaupun jualan menyaksikan penurunan marginal 1.2 peratus bulan ke bulan (MoM), jualan YoY melonjak 17.1 peratus. Ini menandakan pertumbuhan untuk tahun ke-14 berturut-turut.

 

Rantau Amerika terus mendahului pertumbuhan ini dengan peningkatan sebanyak 56.3 peratus YoY, diikuti pula oleh segmen Asia Pasifik/Semua Lain pada kadar 7.6 peratus.

 

Jepun dan China mencatatkan keuntungan yang lebih kecil, masing-masing sebanyak 4.1 peratus dan 2.6 peratus manakala Eropah adalah satu-satunya rantau yang mengalami kemerosotan dengan menguncup sebanyak 8.6 peratus.

 

Keadaan tersebut disebabkan oleh faktor permintaan yang agak lemah dalam sektor utama seperti automotif dan perindustrian. - DagangNews.com