KUALA LUMPUR 8 Feb - Kerjasama erat dan penglibatan secara menyeluruh antara masyarakat setempat dan agensi yang terlibat cukup penting demi memastikan setiap program kerajaan dapat memberi impak baik kepada rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan proaktif dengan sambutan baik komuniti, selain komitmen jabatan kerajaan terlibat juga dapat menjayakan setiap program mencapai objektif disasarkan.
"Apabila (program) dibuat dengan cara yang betul dan kemudian disambung pula dengan cara yang baik (oleh komuniti setempat), kita tentu akan mendapat kejayaan (yang sepatutnya)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir merasmikan program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) anjuran oleh CIMB Group Holdings Berhad dan juga disaksikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif.
Inisiatif komuniti berkenaan membabitkan peruntukan RM3.6 juta yang bakal memberi manfaat kepada seramai 9,000 penduduk dalam kawasan projek perumahan rakyat di Bukit Jalil, Lembah Subang, Seri Selangor dan Seri Alam.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, ada ramai usahawan yang berjaya ketika ini bermula dengan tiada apa-apa namun sekarang mereka sudah mampu mempunyai kedai sendiri dan membeli kediaman selesa untuk keluarga.
"Itulah cara dibuat oleh CIMB dan Kerajaan Madani. Kita bukan sekadar memberi sokongan, bahkan kita hendak membina sekali ekosistem yang akan berkembang, dengan kita melabur untuk pembinaan komuniti," katanya.
Beliau memberikan contoh usaha CIMB memacu impak jangka panjang serta amat positif dengan menawarkan peluang peningkatan kemahiran, menyediakan akses pendidikan berkualiti, serta memupuk kehidupan yang mampan.
Setakat 31 Disember 2024 lalu ujar beliau, seramai 408 pemimpin dalam kalangan ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah termasuk syarikat milik kerajaan telah memilih 408 lokasi di bawah inisiatif Santuni Madani.
Sementara itu, ketika berucap, Amir Hamzah menegaskan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan tiada insan yang masih lagi ketinggalan ketika negara ini cuba berusaha ke arah kehidupan yang lebih inklusif dan lestari.
"Program sebegini menunjukkan betapa penting peranan sektor swasta dalam memperkasakan golongan rentan dan menggerakkan perubahan yang bermakmna melalui pelbagai inisiatif Santuni Madani," tambahnya.
Usaha tersebut tambahnya, sejajar dengan matlamat kerajaan dalam membina balik masyarakat yang berdaya saing dan progresif menerusi pengurangan kemiskinan, pengangguran dan keciciran persekolahan. - DagangNews.com








