KUALA LUMPUR 21 Okt – Pembinaan kabel kuasa dasar laut bagi menyalurkan tenaga boleh diperbaharui (RE) dari Sarawak ke Singapura dijangka bermula selewat-lewatnya pada tahun 2026, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan Singapura merancang untuk memulakan projek itu tahun depan, selepas isu kekurangan kabel dasar laut global dijangka diselesaikan menjelang akhir tahun ini.
Menurutnya, pihak berkuasa Indonesia turut memberikan maklum balas positif terhadap projek tersebut memandangkan laluan pemasangan kabel akan melalui perairan negara itu.
“Kerajaan Singapura dan Sarawak, dengan sokongan kerajaan Malaysia, memutuskan pembinaan kabel dasar laut mesti dimulakan selewat-lewatnya tahun depan,” katanya selepas merasmikan Sarawak Mega Fair 2025 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura baru-baru ini.
Setakat ini, Singapura sudah memberikan kelulusan bersyarat kepada Sembcorp Utilities, yang akan bekerjasama dengan rakan konsortium Sarawak Energy Bhd untuk mengimport 1 gigawatt (GW) tenaga hidro dari Sarawak.
Abang Johari berkata, satu koridor tenaga rentas sempadan khas sedang dirangka antara Malaysia, Singapura dan Indonesia bagi membolehkan eksport elektrik dari Sarawak ke republik itu.
Beliau berkata, perbincangan teknikal sedang berlangsung untuk memuktamadkan perinciannya.
“Sudah ada persetujuan secara prinsip untuk Sarawak membekalkan tenaga hijau kepada Singapura melalui koridor khas ini,” tambahnya.

Ketika ini, tenaga hidro menyumbang lebih 60% daripada kapasiti penjanaan tenaga Sarawak.
Sarawak Energy memiliki empangan hidroelektrik Bakun (2,400MW), Murum (944MW) dan Batang Ai (108MW), manakala Empangan Baleh dengan kapasiti 1,285MW sedang dalam pembinaan.
Abang Johari berkata, Sarawak menawarkan pelbagai insentif pelaburan bagi menarik pelabur asing, termasuk dari Singapura, khususnya dalam sektor tenaga bersih dan industri lestari.
“Kita menawarkan insentif yang setara dengan yang diberikan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Selain itu, kita juga mempunyai insentif di peringkat negeri seperti keluasan tanah, premium tanah dan kadar tarif tenaga yang kompetitif.
“Pada masa ini, Sarawak mempunyai tarif tenaga industri terendah di Malaysia,” katanya.
Menurutnya lagi, pelabur yang menggunakan tenaga hijau Sarawak dalam proses pengeluaran akan memperoleh kelebihan pasaran atau “green premium” sejajar dengan peningkatan permintaan global terhadap produk rendah karbon.
“Tumpuan global terhadap produk mesra alam menjadikan tenaga hijau Sarawak sebagai nilai tambah utama bagi pelabur tempatan dan antarabangsa.
“Produk yang dihasilkan dengan tenaga hijau lebih mudah dipasarkan kerana pelepasan karbonnya rendah,” katanya. - DagangNews.com








