Kerajaan yakin GLIC buat keputusan tepat lindungi kepentingan jutaan pencarum dalam isu IJM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan yakin GLIC buat keputusan tepat lindungi kepentingan jutaan pencarum dalam isu IJM

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 12 Mac - Kerajaan mempunyai keyakinan penuh bahawa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan membuat keputusan yang tepat bagi melindungi kepentingan jutaan rakyat Malaysia yang merupakan penyumbang kepada institusi berkenaan, kata Kementerian Kewangan (MOF).

 

Menurut kementerian itu, GLIC merupakan institusi kewangan profesional yang terikat dengan standard tadbir urus yang ketat serta mandat pelaburan yang jelas dalam membuat sebarang keputusan pelaburan.

 

Memandangkan proses pengambilalihan yang dicadangkan itu masih berjalan, MOF berkata kerajaan yakin GLIC akan menilai transaksi berkenaan secara bebas dan berasaskan prinsip komersial sambil mengambil kira kepentingan strategik negara.

 

Kenyataan itu dibuat ketika menjawab persoalan mengenai cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad yang kini sedang melalui proses tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat.

 

MOF berkata, GLIC memiliki kira-kira 45% pegangan saham dalam IJM setakat 30 Januari 2026.

 

Bagaimanapun, menurut kementerian itu, tiada mana-mana GLIC yang mempunyai pegangan saham yang membentuk blok kawalan strategik dalam syarikat tersebut.

 

Tawaran dibuat kepada semua pemegang saham

“Cadangan transaksi ini adalah dalam bentuk tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat. Ini bermakna tawaran dibuat kepada semua pemegang saham, termasuk pemegang saham bukan GLIC, atas asas yang sama.

 

“Setiap pemegang saham bebas untuk menerima atau menolak tawaran tersebut,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen.

 

Menurut notis pengambilalihan, tawaran yang dibuat pada 12 Januari 2026 itu tertakluk kepada syarat Sunway memegang secara agregat lebih daripada 50% saham mengundi dalam IJM Corporation.

 

Selain itu, transaksi berkenaan turut memerlukan kelulusan pemegang saham Sunway serta pematuhan kepada beberapa syarat lain.

 

MOF berkata, bagi memastikan tawaran tersebut berjaya, majoriti pemegang saham perlu memberikan kelulusan.

 

Isu pemilikan aset strategik turut disentuh

Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai penilaian kerajaan terhadap cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad, khususnya dari perspektif kepentingan strategik pemilikan ekuiti ekonomi Bumiputera memandangkan hampir separuh saham IJM dimiliki institusi pelaburan negara.

 

Beliau turut menyatakan, IJM mengawal beberapa aset strategik negara termasuk Pelabuhan Kuantan serta lebuh raya utama.

 

MOF menjelaskan kebimbangan tersebut berkaitan kepentingan dalam IJM yang dimiliki GLIC seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

 

Menurut kementerian itu, isu yang dibangkitkan melibatkan aspek integriti keputusan pelaburan serta pemilikan aset strategik melalui Pelabuhan Kuantan dan konsesi tol.

 

Kerajaan kekal kawal aset strategik

MOF berkata kerajaan masih mengekalkan mekanisme kawalan langsung terhadap aset strategik tersebut.

 

Sebagai contoh, kerajaan memegang saham khas (golden share) dalam Kuantan Port Consortium Sdn Bhd.

 

Bagi konsesi lebuh raya pula, ia kekal tertakluk kepada terma perjanjian konsesi serta peraturan kerajaan. - DagangNews.com