KUALA LUMPUR 14 Mac — Kerajaan Selangor akan melaksanakan projek transit berdasarkan permintaan (DRT) yang pernah diperkenalkan sebelum ini secara percubaan untuk membantu pengguna pengangkutan awam di negeri itu.
Syarikat yang berminat dan berkelayakan boleh mengemukakan permohonan cadangan (RFP) bermula semalam sehingga 7 April ini, kata Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dalam satu kenyataan.
Ia memaklumkan, sesi taklimat diadakan pada 14 Mac 2025 dan maklumat terperinci mengenai perkara tu boleh didapati melalui laman web rasminya.
Perkhidmatan DRT sedia ada pula dijangka mengalami sedikit gangguan kerana insentif untuk pengendali telah dihentikan sehingga pelantikan rasmi operator dilakukan kemudian.
“Tarikh akhir penyerahan RFP itu adalah sebelum tengah hari, 7 April,” kata MBI Selangor.
Pelaksanaan penuh DRT dijangka bermula pada Mei dan pengguna diminta menyemak sebarang perubahan atau gangguan melalui aplikasi perkhidmatan DRT sedia ada untuk merancang perjalanan ke destinasi mereka.

Kerajaan Selangor sebelum ini telah melaksanakan projek perintis DRT dari 21 November 2023 hingga 31 Julai 2024, melibatkan lapan zon beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.
“Sepanjang tempoh itu, penggunaan DRT merekodkan sejumlah 73,389 orang penumpang dan mencapai sasaran utama dalam meningkatkan kesedaran rakyat terhadap perkhidmatan tersebut," kata kenyataan itu.
Projek DRT dijangka dapat memenuhi permintaan penduduk dan pengunjung di Selangor dalam merealisasikan perjalanan yang lebih cekap dan fleksibel pada harga yang berpatutan.
DRT merujuk kepada sistem pengangkutan yang menyesuaikan laluan dan jadual berdasarkan keperluan khusus penumpang dengan menyediakan pilihan pengangkutan fleksibel dan cekap, untuk sambungan jarak batu pertama dan terakhir perjalanan.
Pada 10 Oktober 2023, kerajaan Selangor menyatakan mahu memperkenalkan sistem DRT yang bertujuan menggantikan kemudahan Bas Pintar Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan lorong sempit pada masa depan.
Menurut Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han, sistem ini mengutamakan permintaan penumpang untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam utama seperti kereta api dan bas. - DagangNews.com








