KUALA LUMPUR 14 Julai – Kerajaan akan mengkaji semula konsesi Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) sebagai pengimport tunggal beras negara sebelum tempoh konsesi itu tamat pada 2031, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.
Beliau berkata, Bernas kini memegang status sebagai pengimport tunggal beras berdasarkan dasar yang bermula di bawah Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada 1973 sebelum diteruskan selepas agensi itu dikorporatkan dan diswastakan.
“Dasar itu masih berkuat kuasa selaras dengan perjanjian konsesi yang akan tamat pada 2031,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Chan bagaimanapun tidak memperincikan skop atau terma kajian semula tersebut, termasuk sama ada kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menamatkan monopoli Bernas sebagai pengimport tunggal beras.
Beliau menjawab pertanyaan beberapa Ahli Parlimen mengenai kedudukan Bernas sebagai pengimport tunggal beras negara.
Pada 9 Julai lalu, Teresa Kok (PH-Seputeh) mempersoalkan rasional keputusan kerajaan menswastakan Lembaga Padi dan Beras Negara pada 1994, dengan menyifatkan agensi itu sebagai antara badan kerajaan yang dipindahkan sepenuhnya kepada pemilikan swasta.
Kok turut bertanya sama ada kerajaan mempunyai perancangan atau pelan hala tuju untuk menamatkan penswastaan industri padi di bawah Bernas.

Bernas pikul 10 tanggungjawab sosial
Chan berkata, Bernas bertanggungjawab menyediakan RM3.2 bilion bagi memenuhi 10 tanggungjawab sosial yang ditetapkan kerajaan, selain sumbangan tambahan yang disalurkan syarikat sebagai komitmen terhadap kebajikan pesawah.
“Pada 2025, Bernas menyalurkan RM90 juta secara tunai menerusi Program Bantuan Khas Pesawah kepada pesawah berskala kecil bagi membantu meringankan beban kos sara hidup mereka.
“Bernas juga memperuntukkan RM13 juta daripada keuntungan bersih yang diperoleh menerusi aktiviti import beras untuk diagihkan kepada pesawah,” katanya.
Beliau berkata, pindaan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 bersama peraturan baharu akan membolehkan kementerian mengemas kini kategori dan gred beras yang telah digunakan sejak 1992.
Langkah itu perlu bagi memenuhi keperluan semasa industri serta memastikan rakyat Malaysia terus mendapat bekalan beras yang stabil dan terjamin.
Pindaan itu turut memasukkan peruntukan bagi mengawal selia pencampuran Beras Putih Tempatan (BPT) dengan Beras Putih Import (BPI).
Untuk rekod, Bernas ditubuhkan pada 1994 susulan penswastaan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan diberikan konsesi sebagai pengimport tunggal beras negara. Pada 2014, syarikat itu diambil alih oleh taikun korporat Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary menerusi Tradewinds (M) Bhd.
Selain menguruskan import beras bagi menjamin bekalan domestik, Bernas turut dipertanggungjawabkan melaksanakan pelbagai obligasi sosial termasuk mengekalkan stok penimbal beras negara, membeli padi daripada pesawah tempatan serta menyalurkan bantuan kepada komuniti pesawah di bawah syarat konsesinya dengan kerajaan. - DagangNews.com








