Kerajaan kutip RM5.05 bilion hasil dua cukai transaksi dalam talian luar negara dari 2021 hingga 2024 - Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan kutip RM5.05 bilion hasil dua cukai transaksi dalam talian luar negara dari 2021 hingga 2024 - Parlimen diberitahu

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov – Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan mekanisme cukai baharu bagi transaksi dalam talian, termasuk barangan import dan perkhidmatan digital luar negara bagi mewujudkan persaingan yang lebih adil antara perniagaan tempatan dan asing serta memperkukuh kutipan hasil negara.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dua mekanisme percukaian diperkenalkan untuk mencapai matlamat tersebut iaitu Cukai Barang Bernilai Rendah (Low Value Goods - LVG) dan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital Luar Negara (SToDS).

 

Beliau berkata, cukai LVG mula diperkenalkan pada 1 Jan 2024 dan kerajaan mengutip sebanyak RM476 juta pada tahun tersebut.

 

“Jumlah kutipan hasil berkaitan transaksi digital melalui SToDS pula ialah sebanyak RM802 juta pada 2021, RM999 juta (2022); RM1.15 bilion (2023) dan RM1.62 bilion (2024).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Jumlah kutipan bagi tahun 2025 masih belum diperolehi kerana data kutipan masih belum berakhir sehingga 31 Disember 2025,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme kutipan cukai  daripada transaksi dalam talian yang melibatkan penjual atau portal luar negara di Dewan Rakyat hari ini.

 

Amir Hamzah berkata, dua inisiatif percukaian itu adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk menangani ketirisan hasil dalam ekonomi digital yang semakin berkembang dan kompleks.

 

“Kedua-dua mekanisme ini bertujuan memastikan semua transaksi digital dan rentas sempadan tertakluk kepada percukaian, selaras dengan prinsip keadilan dan kesetaraan.

 

“Bagi LVG, cukai jualan dikenakan ke atas barangan import bernilai rendah yang dibeli secara dalam talian daripada penjual luar negara bagi menutup jurang sedia ada di mana sebelum ini barangan import bernilai RM500 ke bawah tidak dikenakan cukai, sedangkan peniaga tempatan terpaksa menanggung cukai jualan serta kos operasi lain. 

 

“Langkah ini memastikan pengguna di Malaysia tidak lagi mendapat harga lebih murah semata-mata kerana barangan import sebelum ini bebas cukai, sekaligus mewujudkan medan persaingan yang seimbang bagi perniagaan tempatan berdasarkan kualiti, nilai dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

 

t

 

Bagi SToDS, cukai perkhidmatan dikenakan ke atas semua penyedia perkhidmatan digital luar negara tanpa mengira negara asal, termasuk platform popular seperti Netflix, Apple, Microsoft dan Google. 

 

Penyedia perkhidmatan ini diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta memungut dan menyerahkan cukai apabila perkhidmatan mereka digunakan oleh pelanggan di Malaysia. 

 

Amir Hamzah berkata, langkah ini memastikan penyedia perkhidmatan luar negara memikul tanggungjawab cukai yang setara dengan penyedia tempatan.

 

“Tiada pengecualian cukai jualan diberikan ke atas barangan yang diimport melalui portal luar negara. 

 

“Pengecualian cukai jualan hanya terpakai kepada barangan yang disenaraikan di bawah Perintah Cukai Jualan (Barang Yang Dikecualikan Daripada Cukai Jualan) 2025 tanpa mengira sama ada barangan tersebut diimport atau dibeli daripada pengeluar tempatan,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga telah menyediakan pelbagai mekanisme, insentif dan sokongan bagi membantu dan memperkasa perniagaan tempatan menghadapi persaingan luar, termasuk insentif cukai untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), geran pendigitalan, sokongan logistik, serta penguatkuasaan e-dagang rentas sempadan. 

 

“Bagi PKS, kadar cukai pendapatan korporat lebih rendah iaitu 15% bagi RM150,000 pertama pendapatan bercukai dan 17% bagi RM450,000 berikutnya berbanding kadar biasa 24% bagi syarikat bukan PKS.

 

 

 

 

 

 

 

“Selain itu, kerajaan menyediakan insentif cukai bagi pelaburan dalam automasi dan pendigitalan, potongan cukai bagi perbelanjaan latihan pekerja, geran pendigitalan kepada PMKS, skim pembiayaan mudah dan sokongan teknikal melalui agensi seperti SME Corp, MDEC dan MATRADE. 

 

“Langkah-langkah ini bertujuan membantu perniagaan tempatan menyesuaikan diri dalam persekitaran e-dagang dan memastikan barangan import tertakluk kepada mekanisme percukaian yang setara, mewujudkan medan persaingan yang lebih adil,” katanya. - DagangNews.com