KUALA LUMPUR 7 Nov – Kerajaan kini meneliti beberapa langkah mitigasi bagi mengelakkan kenaikan harga kereta tempatan yang diunjurkan antara 10% hingga 30% apabila pengecualian duti eksais ke atas kenderaan pemasangan tempatan (CKD) tamat hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan sedang mengumpul data dan menjalankan sesi libat urus dengan pemain industri automotif bagi menilai kesan sebenar pelaksanaan peraturan tersebut terhadap harga pasaran kenderaan tempatan.
“Kerajaan akan mengambil langkah mitigasi bagi meminimumkan impak kepada rakyat,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN–Jempol) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan akan meneruskan atau menangguhkan pelaksanaan semula duti eksais terhadap kenderaan pemasangan tempatan.
Menurut Hui Ying, kesan sebenar terhadap harga kereta belum dapat dipastikan kerana setiap pengeluar tempatan mempunyai model perniagaan berbeza yang menyebabkan ketidaksejajaran dalam pengiraan duti eksais.
Sejak 2020, kerajaan telah memberikan pengecualian khas kepada kenderaan pemasangan tempatan di bawah peraturan P.U.(A) 402/2019 – Peraturan Eksais.
Peraturan baharu itu memperluas asas pengiraan duti eksais bagi kenderaan tempatan dengan memasukkan kos bukan pembuatan seperti jualan, pemasaran, perbelanjaan pentadbiran dan keuntungan, yang digabungkan sebagai nilai pasaran terbuka.
Pada masa ini, duti eksais hanya dikenakan ke atas kos pengeluaran atau pembuatan sahaja.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang mewakili lebih sedozen jenama dan pengeluar utama, sebelum ini memberi amaran bahawa pelaksanaan penuh struktur duti eksais baharu itu boleh menyebabkan harga kereta CKD meningkat purata antara 10% hingga 30%.
Menurut MAA, pengecualian duti eksais tersebut akan berakhir pada 31 Disember 2025, dengan penguatkuasaan penuh dijadual bermula pada Januari 2026.
Langkah kerajaan untuk menilai semula pelaksanaan peraturan ini dijangka memainkan peranan penting dalam mengekalkan daya saing industri automotif tempatan, selain mengimbangi keperluan hasil kerajaan dan kesejahteraan pengguna. - DagangNews.com








