Kerajaan dijangka jimat RM2.5–RM4 bilion setahun melalui pelaksanaan subsidi BUDI95, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan dijangka jimat RM2.5–RM4 bilion setahun melalui pelaksanaan subsidi BUDI95, Parlimen diberitahu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis – Kerajaan dijangka dapat menjana penjimatan sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui pelaksanaan program subsidi Budi Madani RON95, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

 

Beliau berkata, julat penjimatan tersebut mengambil kira pelbagai senario seperti harga minyak mentah global, iaitu antara AS$60 hingga AS$80 setong, serta pelaksanaan penghapusan subsidi ke atas segmen yang tidak disasarkan seperti bukan warganegara dan pengguna komersial. 

 

“Memandangkan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 hanya bermula pada 30 September 2025, jumlah penjimatan tahunan hanya dapat dinilai mulai tahun 2026,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Dr A Lingeshwaran yang ingin tahu berapakah penjimatan fiskal yang telah dicapai oleh Kerajaan hasil pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95 selepas sebulan program itu dilancarkan dan bagaimana penjimatan akan disalurkan semula kepada rakyat dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

 

Tambahnya, penjimatan yang dicapai melalui pelaksanaan penyasaran pelbagai subsidi termasuk BUDI95 telah membuka ruang fiskal yang lebih luas kepada Kerajaan untuk dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat. 

 

“Ruang fiskal tersebut turut memperkukuh keupayaan Kerajaan dalam membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di seluruh negara. 

 

“Bagi tahun 2026, antara yang dirancang ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di mana peruntukan program ini ditambah dari RM10 bilion pada tahun 2024 kepada RM15 bilion pada tahun 2026.

 

“Ini termasuk tambahan RM2 bilion Penghargaan SARA kepada secara one-off yang akan diterima oleh sekitar 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun dan ke atas,” katanya.

 

Selain itu, bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dinaikkan peruntukan kepada lebih RM3.0 bilion; program menangani kos sara hidup pula mempunyai peruntukan RM1 bilion ermasuk Program Jualan Rahmah MADANI (RM600 juta).

 

 

 

 

 

 

Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) pula RM794 juta; Inisiatif Pas Bulanan My50 (Lembah Klang) sebanyak RM216 juta; dan Kad 30 Hari dan Kad Konsesi di bawah BAS.MY sekitar RM200 juta – turut diperluaskan di negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak. 

 

Beliau berkata, penjimatan dana negara melalui penyasaran subsidi membolehkan Kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana bagi agenda kebajikan, bantuan menangani kos sara hidup, pendidikan, kesihatan serta pelaburan bagi menyediakan prasarana rakyat yang berkualiti. - DagangNews.com