KUALA LUMPUR 3 Mac - Kerajaan membelanjakan lebih RM70 bilion untuk subsidi, insentif dan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat pada tahun lalu, melebihi anggaran asal Belanjawan 2024 sebanyak RM58 bilion.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara sebab utama peningkatan tahun lalu adalah untuk menampung keperluan tambahan bagi subsidi produk petroleum iaitu RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
Beliau berkata, Belanjawan 2024 disediakan berdasarkan andaian penyasaran subsidi diesel dan RON95 akan dilaksanakan awal tahun 2024.
"Kerajaan Berjaya melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada Jun 2024 dan telah menangguhkan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 kepada tahun 2025.
"Langkah ini diambil mengambil kira penyasaran subsidi juga telah dilaksanakan pada tahun 2024 untuk elektrik pada bulan Januari 2024 dan selanjutnya tarif air pada Februari 2024," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah berkata, sehingga 31 Disember 2024, lebih 140,000 penerima Budi Individu dan 110,000 penerima Budi Agrikomoditi diluluskan dalam tempoh enam bulan pelaksanaan sejak Jun 2024 dengan jumlah bayaran sebanyak masing-masing RM190 juta dan RM70 juta.
Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh itu, membolehkan kerajaan menyalurkan semula peruntukan bagi membiayai projek-projek pembangunan serta mengukuhkan jaringan sosial rakyat melalui program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya.
Menteri Kewangan II berkata, sehingga Disember 2024, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sebanyak RM507 juta subsidi elektrik berdasarkan tuntutan yang telah disemak dan disahkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) kepada Sabah Electricity (SESB).
Katanya, kerajaan juga meluluskan permohonan bayaran kos laluan ketidakseimbangan (ICPT) (Jun – Disember 2023) kepada Sabah Electricity berjumlah RM162 juta.
Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan juga telah meluluskan moratorium bayaran balik pinjaman Sabah Electricity kepada Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan sekitar RM65 juta.
"Bagi tahun 2025, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM700 juta subsidi elektrik, meningkat RM193 juta daripada peruntukan tahun 2024 sebanyak RM507 juta.
"Selaras dengan penyerahan SESB kepada Kerajaan Negeri Sabah ianya memerlukan usahasama dan ketertanggungjawaban bersama untuk terus menambah baik penyediaan perkhidmatan elektrik serta menyumbang kepada keperluan operasi dihadapi oleh Sabah Electricity," katanya. - DagangNews.com








