KUALA LUMPUR 6 Feb - Kementerian Komunikasi bakal melaksanakan penjajaran semula visi dan fungsi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan penekanan kepada bentuk komunikasi yang efektif dan inklusif.
Menurut jawapan bertulis kementerian itu melalui portal Parlimen hari ini sebagai menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), usaha tersebut merangkumi strategi yang menghargai kepelbagaian masyarakat.
“Perubahan ini meliputi penggunaan pelbagai medium sebaran untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat, selain memastikan J-Kom memenuhi keperluan semasa dan cabaran masa depan,” katanya.
Wakil pembangkang itu dalam pertanyaannya meminta penjelasan berhubung status pelantikan Ketua Pengarah J-Kom yang baharu, Datuk Ismail Yusop serta perkembangan rombakan fungsi ke atas organisasi berkenaan.
Pada 6 Oktober lepas, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyentuh usaha penyelarasan peranan J-Kom apabila dipindah balik daripada Jabatan Perdana Menteri kepada kementerian itu pada 13 Disember2024 lalu.
Mengulas lanjut, kementerian tersebut berkata, pelbagai usaha pengukuhan keberkesanan secara komunikasi strategik dan pengurusan naratif dalam penyampaian dasar, program dan inisiatif kerajaan akan diperhebatkan.
“Ia selaras pelantikan ketua pengarah baharu berkuat kuasa pada 15 Januari lalu dan penting demi memastikan kestabilan sosial serta mengurangkan konflik yang mungkin timbul akibat perbezaan pandangan,” tambahnya.
Antara fungsi J-Kom ujarnya ialah memastikan maklumat berkaitan polisi kerajaan dapat disampaikan berkesan ke peringkat komuniti selain fungsi agensi itu diperkemaskan lagi bagi pengukuhan hubungan antara kaum.
Justeru tegas kementerian tersebut, banyak program dan aktiviti J-Kom selepas ini penting dirancang dengan rapi untuk mencapai tujuan berkenaan di bawah kepimpinan baharu organisasi itu dalam masa yang terdekat.
Ismail yang lebih mesra disapa sebagai Tok Abah, sebelum itu merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia dan menggantikan penyandang terdahulu, Dr. Mohd. Khairuddin Othman.
Setiausaha Parti Keadilan Rakyat Selangor itu ditamatkan kontrak pada September lalu setelah dilantik pada 1 Mac 2024 bagi menggantikan Datuk Dr. Mohammad Agus Yusof yang meletak jawatan pada November 2023.
J-Kom yang sebelum itu dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas, telah dijenamakan semula pada 2020 lalu ketika kerajaan diterajui Perikatan Nasional dengan peranan dan fungsi berbeza. - DagangNews.com








