Kekurangan modal, pelaburan jejaskan keselamatan tenaga - Presiden Kesatuan Gas Antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kekurangan modal, pelaburan jejaskan keselamatan tenaga - Presiden Kesatuan Gas Antarabangsa

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Feb — Kekurangan pelaburan dan peningkatan kos modal untuk pembangunan gas akan berisiko membahayakan keselamatan tenaga dan melemahkan keupayaan industri untuk menyediakan tenaga mampu milik.

 

Demikian kata Presiden Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU), Li Yalan, yang menambah bahawa dua faktor tersebut turut dapat menjejaskan isu pengeluaran sumber gas asli yang boleh dipercayai dan bersifat mampan kepada orang ramai.

 

Beliau malahan menyatakan, situasi berkenaan mendorong organisasi itu untuk menggesa dan menggalakkan semua ahlinya serta pihak berkepentingan utama global agar terus memastikan jaminan akses pelaburan dan pembiayaan.

 

"Sebagai campuran tenaga semasa yang bergantung kepada arang batu di benua Asia, gas asli merupakan salah satu daripada tenaga asas untuk menyokong usaha misi peralihan tenaga dan neutral karbon kebanyakan negara.

 

"Untuk teknologi penyimpanan elektrik berskala besar, komersial dan jangka panjang matang, gas asli juga masih akan memainkan peranan penting dalam sistem tenaga," kata beliau pada program Simposium Gas Malaysia 2025.

 

Berucap untuk edisi keempat itu, Yalan menyatakan bahawa unjuran menunjukkan bahawa gas asli memenuhi sekitar 40 peratus daripada peningkatan permintaan tenaga global pada 2024, iaitu lebih daripada bahan api yang lain.

 

Penggunaan kepada gas asli global ujar beliau, turut mencapai rekod tertinggi dalam sejarah iaitu berjumlah 4,212 bilion meter padu (bcm) yang bersamaan peningkatan sebanyak 2.8 peratus bagi data tahun ke tahun.

 

igu

 

Pertumbuhan kukuh ini disebabkan rantau Asia Pasifik menyumbang hampir 45 peratus permintaan gas tambahan pada 2024, didorong oleh pembangunan ekonomi berterusan dan menunjukkan terdapat potensi besar pembangunan gas.

 

"Pada tahun ini pula, penggunaan gas asli dunia dijangka mencecah sebanyak 4,292 bcm. Asia Pasifik akan terus mengambil kira sebahagian besar kenaikan itu sementara Eropah dijangka mengimport banyak gas asli cecair (LNG).

 

"Langkah dilaksanakan di benua tersebut ekoran kerja penggantian saluran paip gas mereka. Semua faktor ini akan memberi kesan kepada bekalan dan harga pasaran gas global, yang bakinya kekal adalah rapuh," kata Yalan.

 

Malaysia ujarnya, sebagai pengeluar gas asli ketiga terbesar di rantau Asia-Pasifik selepas Australia dan China, akan memainkan peranan penting dengan rizab gas yang kaya, dan kapasiti pengeluaran LNG pula semakin meningkat.

 

"Pada masa yang sama, disebabkan kedudukan geografi yang berdekatan dengan China, India dan pasaran gas asli lain, industri gas Malaysia bakal dilihat mempunyai peluang potensi pembangunan yang lebih besar," tambahnya.

 

Negara ini juga merupakan pengeksport LNG kelima terbesar dunia, mencecah lebih 28 tan metrik, menyumbang tujuh peratus daripada perdagangan LNG global. Pada 2024, Malaysia mengeksport 7.85 juta tan LNG ke China. - DagangNews.com