Kejutan Q3 2025: Pertumbuhan KDNK Malaysia capai kadar tertinggi setahun pada 5.2% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kejutan Q3 2025: Pertumbuhan KDNK Malaysia capai kadar tertinggi setahun pada 5.2%

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt – Ekonomi Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi dalam tempoh setahun pada suku ketiga (Q3) 2025, melebihi jangkaan dan menunjukkan momentum domestik yang kukuh, kata penganalisis.

 

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara meningkat 5.2% pada tempoh tersebut berbanding pertumbuhan 4.4% pada suku kedua, menurut anggaran awal Jabatan Perangkaan.

 

KDNK sebenar, termasuk pecahan permintaan dan penawaran akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada 14 November ini.

 

Anggaran awal 5.2% itu melebihi konsensus pasaran sebanyak 4.2% serta ramalan Kenanga Research sebanyak 4.5%.

 

Sehubungan itu, Kenanga Research menaikkan ramalan pertumbuhan KDNK Q3 2025 kepada 5% daripada 4.5% dan kini menjangkakan pertumbuhan akan sedikit menurun kepada 4.3% pada suku keempat.

 

Hasilnya, firma itu menambah ramalan pertumbuhan keseluruhan tahun 2025 kepada 4.5% meningkat daripada 4.3%.

 

Walaupun pertumbuhan 2025 kelihatan lebih kukuh daripada jangkaan, Kenanga Research menjangkakan ia akan menurun kepada 4.2% pada 2026 disebabkan permintaan luar yang lebih perlahan akibat tarif AS yang lebih tinggi pada separuh pertama tahun tersebut.

 

“Pertumbuhan terus dipacu oleh sektor berorientasikan domestik. Peningkatan pendapatan isi rumah yang disokong oleh kenaikan gaji minimum dan pemberian tunai bersasar, serta peningkatan ketibaan pelancong dan perbelanjaan menjelang Visit Malaysia 2026 adalah faktor utamanya.

 

“Kitaran pelaburan yang sedang berjalan, disokong oleh rangka kerja dasar nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Peralihan Tenaga Negara, dan Rancangan Malaysia Ke-13 akan terus menyokong pertumbuhan,” kata firma itu dalam nota kajiannya.

 

 

t

 

Kenanga Research berkata, kebangkitan semula sektor perlombongan daripada gangguan bekalan sebelum ini bersama penggunaan swasta yang stabil disokong oleh kadar dasar yang menggalakkan dan perbelanjaan bermusim terus mengukuhkan prospek pertumbuhan domestik.

 

Namun, firma itu memberi amaran mengenai risiko luaran yang masih wujud dengan menyatakan pendirian perdagangan Presiden AS, Donald Trump terus menimbulkan ketidakpastian terhadap perdagangan dan pertumbuhan global.

 

Ini sekali gus memberi risiko negatif kepada ekonomi Malaysia yang bergantung pada eksport.

 

Dari segi domestik, Kenanga Research berkata risiko lebih mudah dikawal, dengan subsidi masih tersedia kepada kebanyakan rakyat Malaysia melalui mekanisme bersasar.

 

“Peningkatan kos perniagaan, terutamanya daripada pengembangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), e-invois, serta sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajib 2% untuk pekerja asing berkuat kuasa Oktober 2025 boleh menekan margin korporat,” tambahnya.

 

Sementara itu, UOB berkata data KDNK awal menekankan kekuatan ekonomi domestik.

 

“Bacaan ini jauh melebihi anggaran kami sebanyak 3.6% dan ramalan Bloomberg sebanyak 4.2%. Kejutan positif ini didorong oleh pengembangan menyeluruh dalam sektor utama. 

 

“Secara khusus, sektor perlombongan dan kuari bangkit semula dengan pertumbuhan dua digit (naik 10.9%) manakala sektor pembinaan (naik 11.2%) dan duti import (naik 15.8%) terus mencatat peningkatan dua digit,” kata bank Singapura itu.

 

Memandangkan hasil KDNK yang lebih baik daripada jangkaan dalam dua suku terakhir, dengan purata pertumbuhan 4.7% bagi tiga suku pertama 2025, UOB menaikkan ramalan pertumbuhan keseluruhan tahun kepada 4.6% daripada 4% sebelum ini.

 

Bagi 2026, bank itu menjangkakan pertumbuhan KDNK akan kekal stabil pada 4.5%. - DagangNews.com