KUALA LUMPUR 18 Jun - Kejayaan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dan agenda Maju Johor 2030 kini bergantung kepada sokongan serta mandat rakyat Johor untuk memastikan pelan pembangunan yang dirangka kerajaan negeri dapat diteruskan sehingga mencapai matlamatnya.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Johor kini berada di landasan yang tepat selepas merekodkan pelbagai pencapaian termasuk pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan serta kejayaan menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit ke negeri itu.
Menurut beliau, asas pembangunan telah berjaya dibina dan hasil daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri mula menunjukkan impak positif terhadap ekonomi Johor.
“Pilihan kini di tangan Bangsa Johor sama ada mahu meneruskan pelan pembangunan Maju Johor atau memilih haluan yang berbeza.
“Kita kini sudah berada di pertengahan perjalanan. Asas telah dibina dan hasilnya mula dapat dilihat. Kini menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan perjalanan ini sampai ke garisan penamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan JETP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.
Terdahulu, dalam ucapan pelancarannya, Onn Hafiz menyifatkan JETP sebagai dokumen strategik yang bakal menjadi pemangkin utama kepada agenda Maju Johor 2030 serta aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang penghujung dekad ini.
Katanya, pelan transformasi itu bukan sekadar dokumen perancangan ekonomi, malah menjadi titik penting yang akan menentukan hala tuju pembangunan negeri dalam jangka panjang.
“Hari ini bukan sekadar pelancaran sebuah dokumen dan bukan juga sekadar pelancaran sebuah pelan ekonomi. Ia adalah detik penting yang akan menentukan masa depan Johor.
“Kita berkumpul di sini untuk melancarkan JETP, sebuah pelan transformasi ekonomi yang akan menjadi pemangkin utama kepada aspirasi besar kerajaan negeri Johor untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa rakyat Johor agar terus bersatu dalam menentukan masa depan negeri itu di tengah-tengah landskap global yang semakin mencabar.
“Dalam dunia yang semakin berpecah-belah, Bangsa Johor mesti kekal bersatu. Johor mesti kekal sebagai Johor.
“Kita sedang berlari dalam satu maraton dan kini berada di pertengahan perlumbaan. Kita perlu memilih sama ada untuk ke kanan atau ke kiri. Apa yang telah kita mulakan, mesti kita pastikan ia diselesaikan sehingga berjaya,” katanya.
Pada 1 Jun lalu, Onn Hafiz mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai 2026 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Johor, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun dan pengundian awal pada 7 Julai. - DagangNews.com








