Kapal tempur LCS 2 diberi nama KD Raja Muda Nala, dirasmikan di Limbungan LUNAS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kapal tempur LCS 2 diberi nama KD Raja Muda Nala, dirasmikan di Limbungan LUNAS

Kapal LCS 2 yang diberikan nama KD Raja Muda Nala.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 2 Julai - Setelah bertahun-tahun tertangguh, kapal tempur pesisir kedua (LCS 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akhirnya dilancarkan pada Khamis.

 

Upacara penamaan dan pelancaran kapal ini akan diadakan di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dijadual berangkat ke upacara ini.

 

Upacara penamaan dan pelancaran kapal tersebut akan disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

 

Kapal
Kapal KD Raja Muda Nala (2502) dan KD Maharaja Lela (2501) di limbungan LUNAS.

 

LCS 2 akan dinamakan sebagai KD Raja Muda Nala iaitu bersempena nama putera kepada Sultan Selangor yang pertama, Sultan Sallehuddin Shah. 

 

Ini menandakan progres pembinaan LCS 2 memasuki fasa seterusnya setelah kapal perang tercanggih itu diberi nama secara rasmi.

 

Turut dijadual hadir pada upacara itu ialah Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; dan Panglima TLDM, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.

 

LCS 2 sebelum ini telah berjaya diturunkan ke permukaan air pada 8 Mei lalu dan kini sedang melalui fasa pembinaan lanjutan. 

 

Kapal

 

Kapal
Proses pemasangan mast (tiang sistem penderia) pada kapal LCS 2.

 

Ia dijadual memulakan aktiviti ‘Setting to Work’ pada September tahun ini sebagai persediaan bagi menjalani pelayaran ujian dan operasi masa hadapan.

 

Upacara penamaan dan pelancaran LCS 2 ini berselang selepas 8 tahun upacara sama pada kapal LCS 1 yang diberi nama KD Maharaja Lela.

 

Upacara pelancaran dan penamaan KD Maharaja Lela telah diadakan pada 24 Ogos 2017 di dermaga Boustead Naval Shipyard (kini LUNAS).

 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke upacara tersebut.

 

Tuanku Zara Salim menyempurnakan upacara pelancaran dan penamaan KD Maharaja Lela ketika itu.

 

Kapal

 

Kapal

 

KD Maharaja Lela sepatutnya diserahkan kepada TLDM pada 2019 selepas menjalani proses ujian di pelabuhan dan laut serta ujian penembakan, malangnya ia gagal dilaksanakan.

 

Sepertimana diketahui, projek LCS telah mengalami kelewatan apabila berdepan skandal yang mana kapal-kapal ini sepatutnya disiapkan dan diterima pada tahun 2019 hingga 2022.

 

Keadaan ini menyebabkan TLDM masih menggunakan kapal yang melebihi usia bagi tujuan operasi disebabkan perolehan tidak dilaksanakan mengikut perancangan Program Transformasi TLDM 15to5.

 

Jumlah kapal LCS kemudian dikurang daripada 6 kepada 5 apabila kerajaan memutuskan untuk menyelamatkan projek tersebut pada tahun 2023.

 

Walaupun bilangan LCS dikurangkan, namun kos pembinaan kapal-kapal ini meningkat daripada RM9.128 bilion kepada RM11.22 bilion. - DagangNews.com