Kapal LCS 2 TLDM, KD Raja Muda Nala siap selepas 8 tahun dibina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kapal LCS 2 TLDM, KD Raja Muda Nala siap selepas 8 tahun dibina

KD Raja Muda Nala.
Oleh Zaki Salleh

LUMUT 3 Julai - Pembinaan kapal tempur pesisir kedua (LCS 2) TLDM yang dimulakan pada Februari 2017 akhirnya siap apabila kapal tersebut secara rasmi dilancarkan dan diberi nama hari ini.

 

Projek yang dimulakan oleh pembina asal, Boustead Naval Shipyard (BNS) telah disiapkan oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) setelah diambil alih oleh kerajaan.

 

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menyempurnakan upacara pelancaran dan penamaan LCS 2 yang diberi nama KD Raja Muda Nala di Pangkalan TLDM Lumut di sini.

 

Turut berangkat pada majlis itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM.

 

Kapal
Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir. Azhar Jumaat tentang model kapal KD Raja Muda Nala.

 

 

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

 

Nama Raja Muda Nala dipilih sempena nama anakanda Sultan Selangor pertama, Raja Muda Nala Shah Sultan Salehuddin Shah.

 

Raja Muda Nala merupakan tokoh pejuang tersohor yang memimpin perjuangan rakyat Selangor ketika menentang penguasaan Belanda.

 

Sehubungan itu, nama tersebut diabadikan pada kapal perang termoden TLDM ini sebagai simbol keazaman, keberanian dan semangat juang tokoh berkenaan.

 

Kapal

 

Selepas pelancaran dan penamaan ini, KD Raja Muda Nala dijadual memulakan aktiviti ujian pelbagai sistem pada kapal sebelum bersedia menjalani pelayaran ujian.

 

Bermakna, kapal masih mempunyai fasa-fasa lain yang perlu dilakukan.

 

Jika mengikut pembentangan kepada Mindef sebelum ini, kapal LCS 2 dijangka menjalani ujian pelayaran pada tahun hadapan manakala jangkaan kapal diserahkan kepada TLDM pada 2027.

 

Kapal LCS yang berasaskan rekaan frigat Gowind 3100 berukuran 111 meter panjang, 16 meter lebar dan seberat 3,100 tan.

 

Kapal

 

Berdasarkan rupa fizikal semasa pelancaran, KD Raja Muda Nala masih belum dilengkapkan dengan sebarang sistem persenjataan.

 

Sistem persenjataan pada kapal-kapal LCS sepertimana yang telah ditetapkan adalah meriam Bofors 57mm Mk3, meriam MSI DS30MR dan peluru berpandu antikapal NSM.

 

Menambah bisa pada kapal ini adalah peluru berpandu pertahanan udara MBDA VL MICA, torpedo WAS A244S dan penangkis misil/torpedo LaCroix Sylena Mk2.

 

LCS yang dilengkapi sistem pendorong CODAD terdiri daripada 4 enjin MTU 20V 1163 TB93 boleh belayar sejauh 5,000 batu nautika selama 21 hari dengan kelajuan maksima 28 knot.

 

Kapal
Peluru berpandu MBDA MICA VL.

 

Kapal
Sengat pada kapal LCS ialah peluru berpandu antikapal NSM.

 

Sehingga 25 Mei lalu, kemajuan keseluruhan pembinaan kelima-lima LCS mencapai 72.43 peratus. 

 

Pembinaan semua lima LCS dipantau rapi oleh Mindef bersama pemegang taruh iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Peguam Negara.

 

Semasa projek LCS dirancang pada 2010, objektif TLDM adalah untuk membangunkan sebuah armada masa hadapan menerusi pemilikan aset berteknologi tinggi.

 

 

Kapal

 

Projek LCS adalah sebahagian daripada perancangan strategik TLDM agar armada masa hadapan berkeupayaan melaksanakan pelbagai operasi maritim yang kompleks.

 

LCS sepatutnya menjadi simbol kebanggaan negara sekiranya tidak berdepan dengan skandal kelewatan yang menyebabkan ia mengambil bertahun-tahun untuk disiapkan. - DagangNews.com