Kadar cukai karbon belum dimuktamadkan setakat ini - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar cukai karbon belum dimuktamadkan setakat ini - Amir Hamzah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov – Kerajaan Malaysia masih belum menentukan kadar cukai karbon kerana Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara masih dalam proses draf, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau berkata, perkara itu hanya akan dimuktamadkan selepas rang undang-undang tersebut dibentangkan serta diluluskan di Parlimen pada tahun depan.

 

“Selepas itu, kerajaan akan dapat mengumpul data asas (baseline data) yang diperlukan untuk memudahkan pelaksanaan cukai karbon. 

 

“Data ini penting bagi menilai industri-industri utama yang menyumbang pelepasan karbon tinggi, termasuk sektor besi, keluli dan utiliti, serta bagi menetapkan penanda aras (benchmark) dan merangka kerangka cukai karbon yang berkesan.

 

“Pada peringkat ini, kami sedang menjalankan kajian terperinci mengenai cukai karbon. Proses mengumpul data asas adalah penting dalam menentukan kadar cukai yang sesuai,” kata Amir Hamzah pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Forum pasaran Modal ASEAN yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini.

 

Tambahnya, kerajaan mahu memastikan cukai karbon dilaksanakan dengan tepat dan adil dengan mengambil kira kemampuan industri untuk membuat penyesuaian. 

 

“Apa yang penting ialah kita mempunyai data asas yang jelas dan penanda aras yang tepat untuk dijadikan rujukan,” tambahnya.

 

Laporan media sebelum ini menyebut bahawa Malaysia mempertimbangkan kadar cukai karbon awal RM15 setiap tan pelepasan, serta rancangan penubuhan agensi baru untuk memantau inisiatif perubahan iklim. 

 

Amir Hamzah bagaimanapun menyifatkannya sekadar spekulasi kerana masih tiada sebarang keputusan muktamad dari kerajaan buat masa ini.

 

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2026 telah mengumumkan bahawa cukai karbon akan dikenakan ke atas syarikat besi, keluli dan tenaga bermula 2026.

 

Sebagai perbandingan antarabangsa, Singapura menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan sistem harga karbon pada 2019. 

 

Negara itu kini mengenakan kadar S$25 (RM104.81) setiap tan CO₂, meningkat daripada S$5 pada lima tahun pertama bagi memberi masa kepada pengeluar membuat penyesuaian. - DagangNews.com