KUALA LUMPUR 10 Nov – Penganggur pada September 2025 semakin menurun kepada 518.600 orang dengan kadar pengangguran kekal 3%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi yang memberangsangkan telah membantu mengukuhkan tenaga buruh negara pada September 2025 dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, pengurangan dalam pengangguran serta peluasan pembangunan serantau yang inklusif.
“Tenaga buruh terus berkembang,dengan peningkatan 0.2% kepada17.54 juta orang berbanding 17.51 juta orang pada Ogos 2025 manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 70.9%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan Statistik Tenaga Buruh yang dilaporkan DOSM, bilangan penduduk bekerja naik 0.2% kepada 17.03 juta orang pada September 2025 berbanding 16.99 juta orang pada Ogos.
Beliau berkata, pada masa sama, bilangan penganggur menurun 0.3% kepada 518.6 ribu orang, dengan kadar pengangguran kekal pada 3%.
“Penduduk bekerja sepenuh masa membentuk 74.9% daripada jumlah tenaga kerja, manakala pekerja sendiri meningkat 0.4% kepada 3.24 juta orang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, guna tenaga mengikut sektor ekonomi menunjukkan pertumbuhan stabil dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam perdagangan borong dan runcit, penginapan serta perkhidmatan makanan dan minuman, serta maklumat dan komunikasi.
Katanya, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan kuari serta pertanian turut merekodkan peningkatan bilangan tenaga kerja.
“Dalam kalangan penganggur, 79.8% merupakan penganggur aktif yang bersedia bekerja dan mencari pekerjaan, menurun 0.3% kepada 413.6 ribu orang.
“Penganggur tidak aktif pula berkurang 0.2% kepada 104.9 ribu orang. Bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun, kadar pengangguran menurun kepada 10.1%, sementara bagi umur 15 hingga 30 tahun kekal pada 6.2%,” katanya.
Bagi suku ketiga 2025, tenaga buruh meningkat 0.7% kepada 17.49 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) naik kepada 70.9%.
Bilangan penduduk bekerja meningkat 0.7% kepada 16.97 juta orang manakala penganggur menurun 0.2% kepada 519.9 ribu orang.
Jumlah pekerja kurang 30 jam seminggu berkurang 4.2% kepada 230.9 ribu orang, manakala pekerja separuh masa bersedia menerima jam kerja tambahan menurun 5.5% kepada 133.3 ribu orang.
Sementara itu, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran meningkat sedikit kepada 1.96 juta orang atau 35.5%.
Mengikut negeri, WP Putrajaya mencatat kadar pengangguran terendah iaitu 1.4%, diikuti Pahang 1.7% dan Selangor 1.8%. - DagangNews.com








