KUALA LUMPUR 18 Jun - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan arahan baharu mengenai pengisytiharan harta bagi penjawat awam, termasuk semakan semula had pemilikan saham dalam syarikat serta mekanisme kelulusan yang perlu dipatuhi.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, menerusi pekeliling bertarikh 16 Jun lalu, langkah itu bertujuan memperkukuh integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam perkhidmatan awam, selain memastikan pelaksanaannya seiring dengan perkembangan semasa.
Menurut arahan terbaharu itu, had pemilikan saham dalam sesebuah syarikat persendirian tidak boleh melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM300,000, mengikut mana yang lebih rendah.
"Bagaimanapun, nilai terkumpul pegangan saham dalam lebih daripada sebuah syarikat tidak boleh melebihi RM300,000.
"Pegawai yang ingin melebihi had berkenaan hendaklah memohon kelulusan," katanya.
Begitu juga, nilai terkumpul pegangan saham seseorang pegawai dalam syarikat tersenarai awam tidak boleh melebihi RM300,000. Pemilikan saham yang melebihi had itu memerlukan kelulusan.

Had baharu turut meliputi aset digital
Arahan terbaharu itu turut merangkumi aset lain termasuk saham dan aset digital yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Bagi platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (equity crowdfunding), pemilikan saham dihadkan kepada RM10,000 bagi setiap syarikat dan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM50,000 dalam tempoh 12 bulan, atau tertakluk kepada had yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dari semasa ke semasa.
Pemilikan aset digital, saham koperasi, unit amanah dan saham dalam syarikat kerajaan pula dihadkan kepada RM300,000.
"Walau apa pun had yang ditetapkan bagi setiap instrumen pelaburan, kecuali yang dinyatakan dalam perenggan 23(iii)(a) dan sebarang had yang dikenakan kerajaan di bawah peraturan lain, nilai terkumpul pemilikan atau pemerolehan saham, debentur, bon, sukuk atau sekuriti lain tidak boleh melebihi RM300,000," menurut pekeliling itu.
"Jika seseorang pegawai mempunyai kemampuan dan berhasrat memperoleh saham, debentur, bon, sukuk atau sekuriti lain melebihi had yang ditetapkan dalam perenggan 23, kecuali perenggan 23(iii)(a) dan had yang dikenakan di bawah peraturan lain, pegawai berkenaan hendaklah mendapatkan kelulusan Pegawai Pelulus selaras dengan perenggan 26," katanya lagi.
Di bawah peraturan terdahulu, pegangan saham elektronik (e-shares), termasuk debentur, bon dan sekuriti lain, dihadkan kepada 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 berdasarkan nilai pasaran semasa, mengikut mana yang lebih rendah, dalam mana-mana syarikat yang diperbadankan di Malaysia serta syarikat, perbadanan atau perusahaan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.
Aset bawah RM300,000 tetap perlu diisytiharkan
Aset yang nilainya kurang daripada RM300,000 tidak memerlukan kelulusan, namun ia masih perlu diisytiharkan.
Sebagai contoh, jika pemilik aset ialah Ketua Setiausaha Negara, pegawai pelulus bagi aset yang melebihi RM300,000 ialah Perdana Menteri.
Bagi ketua pengarah pula, kuasa meluluskan adalah terletak pada Ketua Setiausaha Negara.
"Pegawai yang dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah entiti korporat awam seperti Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, syarikat berhad menurut jaminan, badan berkanun Persekutuan dan badan berkanun negeri hendaklah mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada keanggotaan tersebut pada setiap Jun dan Disember."
Pendapatan yang dimaksudkan termasuk elaun bulanan tetap, bonus, insentif, saham, dividen dan apa-apa bentuk pendapatan lain.
"Pegawai yang menerima sebarang dividen atau pulangan pelaburan melebihi enam kali ganda emolumen hendaklah mengisytiharkan penerimaan tersebut kepada Ketua Jabatan melalui Sistem HRMIS, Fungsi Submodul Pengisytiharan Harta, Modul Pendapatan Bulanan," katanya.
Sekretariat khusus teliti pengisytiharan harta
Satu sekretariat khusus akan meneliti permohonan pengisytiharan harta; mengemukakan syor kepada ketua jabatan untuk mengakui pengisytiharan harta pegawai; memaklumkan keputusan ketua jabatan kepada pegawai terbabit; merekodkan keputusan berkaitan pengisytiharan harta dalam rekod perkhidmatan pegawai; serta melaporkan kepada ketua jabatan sekiranya terdapat petunjuk salah laku atau kebimbangan berkaitan integriti pegawai.
Ketua jabatan bertanggungjawab menentukan sama ada seseorang pegawai mempunyai kemampuan kewangan untuk memiliki aset yang diisytiharkan serta memastikan aset tersebut diperoleh melalui cara yang sah, antara tanggungjawab lain.
"Dalam mempertimbangkan pengisytiharan harta seseorang pegawai, Ketua Jabatan boleh meminta maklumat tambahan sekiranya perlu," menurut pekeliling itu.
Sekiranya selepas pertimbangan dibuat ketua jabatan masih tidak berpuas hati dengan pengisytiharan harta pegawai berkenaan, perkara itu hendaklah dilaporkan kepada Unit Integriti atau mana-mana unit yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal integriti untuk tindakan lanjut.
Sekiranya ketua jabatan berpuas hati dengan pengisytiharan tersebut, ketua jabatan hendaklah mengakui pengisytiharan harta itu secepat mungkin dan tidak lewat daripada 30 hari selepas maklumat lengkap dikemukakan. – DagangNews.com








