KUALA LUMPUR 10 Feb – Johor Plantations Group Berhad (JPG) melalui inisiatif tanggungjawab sosial kosporat (CSR) yang dikenali sebagai #JPGBerkat, telah menyumbang sebanyak RM250,000 kepada Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur).
Sumbangan murni tersebut untuk tujuan pembelian bot bantuan dan ambulans bagi menyokong usaha serta bakal memperkukuhkan usaha respons kecemasan selain menyediakan bantuan kritikal kepada komuniti yang terjejas akibat bencana alam di Johor.
Usaha berkenaan turut menekankan dedikasi JPG sendiri untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana, menyokong golongan yang kurang bernasib baik dan memupuk daya tahan masyarakat negeri tersebut pada jangka waktu panjang.
Menurut kenyataan JPG, langkah berkenaan juga merupakan komponen utama strategi CSR yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut secara lebih luas, dengan menekankan kepada aspek kemampanan, pemerkasaan komuniti dan kesejahteraan sosial.
Penyerahan rasmi tersebut telah berlangsung semasa Program Jalinan Ukhuwah - Menyantuni Masyarakat Simpang Renggam di sini, yang turut disaksikan sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, menerusi #JPGBerkat, syarikat itu berdedikasi untuk dapat memainkan peranan yang aktif dan seterusnya menyokong komuniti serta membuat perubahan ketara dalam usaha bantuan bencana.
“Kami di JPG percaya bahawa perniagaan ada tanggungjawab yang melangkaui sumbangan ekonomi. Sokongan terhadap Waqaf An-Nur bakal menyediakan bantuan ketika banjir, mengukuhkan komitmen terhadap kemampanan, daya tahan dan kesejahteraan sosial,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf An-Nur, Bukhari Abd Rahman melahirkan perasaan berterima kasih atas sokongan kukuh yang diberikan oleh pihak pengurusan JPG.
“Sumbangan ini meningkatkan keupayaan Briged Waqaf bertindak balas dengan pantas dan berkesan semasa kecemasan. Inisiatif seperti ini menunjukkan bagaimana CSR boleh diterjemahkan kepada perubahan positif yang nyata dalam kehidupan komuniti terjejas," katanya.
Pemberian tersebut ujar beliau lagi, turut merupakan tambahan penting kepada usaha CSR oleh JPG yang berterusan dan menunjukkan komitmen teguh syarikat berkenaan terhadap pertumbuhan mampan dan sokongan komuniti.
JPG menerusi kenyataan itu merancang untuk memperluaskan lagi program #JPGBerkat selain memperkukuhkan peranannya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dalam meningkatkan kesiapsiagaan dan ketahanan menghadapi bencana di seluruh Johor. - DagangNews.com








