Jelajah Harta Tanah Malaysia 2026 gabungkan elemen lelongan hartanah, automotif, gaya hidup | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jelajah Harta Tanah Malaysia 2026 gabungkan elemen lelongan hartanah, automotif, gaya hidup

Satu sesi lelongan yang diadakan pada acara Jelajah Harta Tanah Malaysia - Gambar Ng Chan Mo & Co
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 5 Mei - NCM Co bersama Owner Auction dan Lapan Art Auction telah berjaya melancarkan Jelajah Harta Tanah Malaysia 2026, yang menandakan edisi terbaharu dalam siri Karnival Lelongan serta pelancaran rasmi siri lelongan seluruh negara yang selari dengan semangat Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sokongan Tourism Malaysia.

 

Program ini memperkenalkan tema baharu berteraskan penerokaan peluang di pelbagai wilayah di Malaysia, menggabungkan elemen hartanah, automotif dan gaya hidup dalam format hibrid lelongan dan karnival yang lebih dinamik.

 

Edisi tahun ini menyaksikan penyertaan 14 institusi kewangan serta menarik lebih 400 pembida berdaftar bagi lelongan hartanah dan automotif, sekali gus mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap peluang dalam pasaran lelongan.

 

Prestasi lelongan mengikut wilayah menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila Wilayah Selatan mencatat kadar kejayaan 84%, manakala hartanah di Pantai Timur mencatat kadar 25%.

 

Wilayah Tengah pula menyaksikan aktiviti bidaan yang kompetitif dengan kenaikan bidaan sehingga 26%, menandakan permintaan yang sihat terhadap aset berkualiti di lokasi strategik.

 

Antara sorotan utama segmen hartanah ialah sambutan kukuh terhadap unit siap dibina di lokasi premium, dengan pembeli menunjukkan minat yang semakin tinggi terhadap aset yang berpotensi memberikan pertumbuhan modal serta pulangan sewaan.


 

solar

 


Sabah dan Sarawak

Acara ini turut menyaksikan lebih 30 hartanah di Sabah dan Sarawak berjaya dijual, sekali gus mengukuhkan skop nasional siri lelongan tersebut.

 

Segmen automotif pula mencatat jualan berjaya melibatkan kenderaan Jepun, Continental dan buatan tempatan, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian tawaran yang tersedia melalui platform lelongan hibrid ini.

 

Bagi menyokong pelancongan domestik selaras dengan inisiatif Cuti-Cuti Malaysia, karnival ini turut menampilkan ganjaran bertemakan pelancongan serta aktiviti jangkauan awam.

 

Tiga pembida teratas menerima hadiah penginapan hotel lima bintang, manakala 100 pasangan tiket Zoo Negara diberikan kepada 100 pembida teratas, bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas serta mempromosikan pengalaman pelancongan tempatan.

 

 

solar

 

Pembeli Baharu

Menurut NCM Co, edisi kali ini turut menyaksikan peningkatan penyertaan pembeli baharu, khususnya mereka yang melihat lelongan sebagai saluran alternatif untuk mendapatkan aset berkualiti.

 

Pelancaran Jelajah Harta Tanah Malaysia 2026 ini menjadi pembuka tirai kepada siri lelongan yang lebih luas, apabila NCM Co bersama Owner Auction dan Lapan Art Auction terus mengetengahkan peluang di pelbagai wilayah menerusi konsep “Jelajah”.

 

Berteraskan momentum ini, NCM Co kekal komited untuk menghubungkan pembeli, pelabur dan pemilik aset melalui penyelesaian lelongan yang telus dan mudah diakses, di samping meningkatkan penyertaan awam melalui inisiatif penglibatan inovatif serta membantu pemilik memperoleh nilai lebih baik melalui pendedahan pasaran yang lebih luas.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai lelongan akan datang dan peluang Owner Auction, layari www.ngchanmau.com atau hubungi 03-2162 3333. - DagangNews.com