Jati Tinggi menang kontrak RM22.56 juta bina sambungan kabel pusat data di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jati Tinggi menang kontrak RM22.56 juta bina sambungan kabel pusat data di Johor

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 16 Julai – Jati Tinggi Group Berhad memperoleh dua kontrak bernilai keseluruhan RM22.56 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan kabel bawah tanah, ujian dan pentauliahan untuk dua projek pusat data di Johor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kontrak pertama bernilai RM10.56 juta melibatkan pemasangan, ujian dan pentauliahan sambungan bekalan pukal 275 kilovolt (kV) bagi sebuah pusat data milik syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Johor.

 

Kontrak kedua pula bernilai RM12 juta, membabitkan pemasangan, ujian dan pentauliahan sambungan bekalan pukal 275kV kepada sebuah pusat data milik syarikat berpangkalan di Hong Kong di Iskandar Puteri, Johor.

 

Kedua-dua kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Jati Tinggi Holding Sdn. Bhd. (JTHSB) oleh seorang kontraktor utama yang tidak dinamakan.

 

JTHSB menerima surat anugerah bagi kedua-dua kontrak tersebut pada 10 Julai 2026.

 

Kontraktor utama berkenaan terlibat terutamanya dalam kerja-kerja pembinaan dan pemasangan kabel, selain menjalankan aktiviti pemborongan produk farmaseutikal, bahan kimia serta kabel dan peralatan perubatan.

 

Tempoh siap sehingga 300 hari

Kontrak pertama dijadualkan siap dalam tempoh 300 hari dari tarikh penerimaan surat anugerah, manakala kontrak kedua dijangka disiapkan dalam tempoh 270 hari.

 

Menurut Jati Tinggi, kedua-dua kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham serta aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.

 

Perolehan kontrak baharu itu turut mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam segmen infrastruktur utiliti voltan tinggi, ketika pembangunan pusat data di Johor terus berkembang sejajar dengan permintaan terhadap kapasiti digital dan kecerdasan buatan (AI).

 

Saham Jati Tinggi ditutup meningkat 1.5 sen atau 2.29% kepada 64 sen pada Selasa, sekali gus memberikan syarikat itu permodalan pasaran sekitar RM283 juta.

 

Harga saham syarikat itu turut mencatat pemulihan lebih 40% sejak mencecah paras 45 sen pada Mei lalu, hampir kepada paras terendah tahunannya iaitu 44 sen. - DagangNews.com