Isu tekanan margin dan kelewatan projek di Vietnam jadi perhatian pelabur Gamuda, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu tekanan margin dan kelewatan projek di Vietnam jadi perhatian pelabur Gamuda, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Jun — Tekanan margin banyak projek luar negara, dan kelewatan pelancaran hartanah di Vietnam terus menjadi perhatian pelabur ke atas prospek Gamuda Berhad, menurut penganalisis.

 

Mereka berpandangan dua isu berkenaan sebagai cabaran kritikal selain usaha pengekalan momentum perolehan kontrak meskipun kumpulan itu disokong oleh rekod buku tempahan bernilai RM52.3 bilion.

 

Sebahagian besar projek masih pada peringkat pelaksanaan awal, dan menyebabkan potensi sebenar sumbangan kepada keuntungan belum diterjemahkan sepenuhnya dalam keputusan kewangan semasa.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM5.60 sesaham ke atas Gamuda, sambil mengekalkan kumpulan ini sebagai pilihan utama sektor pembinaan," kata MBSB Research dalam nota.

 

Menurutnya, keuntungan teras bagi 3QFY26) meningkat 4.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM258 juta, manakala hasil melonjak 43.6% kepada RM4.44 bilion dipacu aktiviti pembinaan domestik yang rancak.

 

Walaupun keputusan sembilan bulan pertama FY26 hanya mewakili 68% daripada unjuran, prestasi itu masih dalam jangkaan memandangkan majoriti projek baharu berada pada peringkat awal pelaksanaan.

 

Artikel berkaitan: Untung bersih Gamuda meningkat 4.5% kepada RM258 juta pada 3QFY26, buku tempahan melonjak ke paras rekod RM52 bilion

 

Gamuda_DagangNews2026

 


MBSB Research berkata, segmen pembinaan Gamuda dijangka memasuki fasa pertumbuhan kukuh mulai FY27 dengan projek-projek sedia ada bergerak ke peringkat pelaksanaan lebih tinggi dalam lengkung naik.

 

"Kami turut menjangka buku tempahan kekal melebihi RM50 bilion dalam tempoh tiga tahun, disokong projek di Malaysia, pakej tambahan di Australia serta kerja tambahan di Taiwan, jelas firma itu.

 

Bagaimanapun, ia berpandangan prestasi segmen hartanah pada 3QFY26 agak sederhana apabila jualan susut 20% kepada RM2.1 bilion berikutan penyiapan projek Celadon City dan penangguhan di Vietnam.

 

Sementara itu, RHB Research turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas Gamuda dengan TP lebih tinggi iaitu RM6.19 sesaham, yang menawarkan potensi kenaikan kira-kira 46% berbanding harga semasa.

 

Ujarnya, margin bersih segmen pembinaan susut kepada 4.9% bagi 9MFY26 berbanding 5.2% sebelumnya susulan ketiadaan penjimatan kos dan beberapa projek hampir siap, selain risiko kos bahan mentah.

 

"Harga diesel di Australia merosot hampir 48%, yang memberi impak positif kepada margin projek pada masa depan, khususnya pakej dimeterai ketika harga minyak berada pada paras tinggi," katanya.

 

RHB Research juga optimis sasaran Gamuda untuk mengekalkan baki buku tempahan sekitar RM50 bilion menjelang akhir tahun kalendar 2026 mampu dicapai, disokong oleh prospek perolehan projek baharu.

 

Ini termasuk projek pemindahan air Perak-Pulau Pinang, beberapa pusat data (DC) baharu, tenaga boleh diperbaharui (RE) di Australia serta transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang. - DagangNews.com