IPO PMCK terlebih langgan 1.87 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO PMCK terlebih langgan 1.87 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 1 Julai – Tawaran Awam Permulaan (IPO) PMCK Bhd terlebih langgan sebanyak 1.87 kali bagi bahagian awam Malaysia menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 9 Julai ini.

 

Syarikat itu menerima 2,512 permohonan melibatkan 156.25 juta saham IPO bernilai RM34.37 juta telah disediakan kepada warga Malaysia, yang mewakili kadar terlebih langgan 1.87 kali.

 

Bagi kategori awam Bumiputera, sejumlah 993 permohonan untuk 23.09 juta saham IPO telah diterima, manakala baki saham telah ditarik balik dan diagihkan semula.

 

Sementara itu, 43.62 juta saham IPO yang diperuntukkan kepada pihak layak juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

Syarikat itu berkata, sejumlah 136.32 juta saham IPO yang ditawarkan secara penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) selepas pelaksanaan peruntukan dan pengagihan semula.

 

"Sejumlah 38.12 juta saham IPO dan 32.72 juta saham sedia ada yang ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih juga telah habis ditempatkan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya pada 7 Julai 2025.- DagangNews.com