IPO Orkim terlebih langganan 11.84 kali menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Orkim terlebih langganan 11.84 kali menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis – Tawaran awam permulaan (IPO) Orkim Berhad yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia terlebih langgan sebanyak 11.84 kali.

 

Bagi tawaran runcit, Orkim menerima sebanyak 6,767 permohonan untuk 256.8 juta saham, menjadikan kadar terlebih langgan sebanyak 11.84 kali.

 

Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 3,430 permohonan diterima untuk 120.1 juta saham, mewakili kadar terlebih langgan 11.01 kali, menunjukkan minat tinggi pelabur Bumiputera terhadap IPO Orkim.

 

Sementara itu, bagi bahagian awam atau bukan Bumiputera, sebanyak 3,337 permohonan diterima untuk 136.7 juta saham, menghasilkan kadar terlebih langgan 12.67 kali.

 

Sehingga 372 juta saham ditawarkan kepada pelabur institusi Malaysia dan Bumiputera yang diluluskan MITI pada harga RM0.92 setiap saham.

 

Selain itu, sebanyak 28 juta saham ditawarkan kepada pengarah, pekerja Orkim, individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat, dan orang ramai Malaysia pada harga yang sama. Semua 8 juta saham untuk kumpulan khas habis dilanggan.

 

Notis peruntukan saham akan dihantar kepada pemohon berjaya pada 5 Disember 2025.

 

Dana IPO akan digunakan terutamanya untuk pembelian kapal baharu, termasuk kapal tangki produk petroleum dan kimia dengan kapasiti muatan 9,000 tan metrik (deadweight tonnes -DWT) sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan dan pembaharuan armada. 

 

Daripada jumlah itu, 87% atau RM80 juta akan digunakan untuk pengembangan armada, sementara baki dana akan menampung modal kerja (1.2%) dan kos berkaitan penyenaraian (11.8%).

 

Orkim dan kumpulannya terlibat dalam pemilikan, penyewaan dan operasi kapal, serta pengurusan harta pelayaran, kontrak pengangkutan dan perniagaan pengangkutan lain. 

 

Kumpulan ini mengendalikan sebanyak 18 kapal dengan jumlah kapasiti muatan sebanyak 239,186 DWT. 


Ini termasuk 14 kapal tangki produk petroleum bersih dengan kapasiti gabungan 134,684 DWT, dua kapal tangki CPP julat sederhana dengan kapasiti gabungan 98,004 DWT dan dua kapal tangki gas petroleum cecair dengan kapasiti gabungan 6,498 DWT. - DagangNews.com